Hampir semua orang mempunyai sekurang-kurangnya satu akaun media sosial. Media sosial ini memainkan peranan penting bagi masyarakat.
Pada masa kini, secara keseluruhannya, media sosial mempunyai tempat di setiap pekerjaan tanpa mengira usia tua dan muda.
Anak kecil seawal usia enam bulan telah pun didedahkan dengan penggunaan media sosial.
Friendster dan MySpace adalah antara jaringan sosial yang dicipta awal untuk perhubungan sosial yang menggabungkan masyarakat sosial sebelum wujudnya Facebook, Twitter dan Instagram.
Aplikasi-aplikasi itu lebih moden dan diperbaiki sejajar dengan perkembangan teknologi serta diperbaharui dalam tahap keberkesanan dan berfokus, bukan sahaja dalam hubungan sesama manusia malah dalam bidang perniagaan.
Realitinya, apa saja yang dicipta mengikut arus kemodenan tentu ada kesan dan pengaruh kepada masyarakat. Kesan yang muncul banyak memberikan impak kepada pengguna, sama ada kebaikan mahupun keburukan.
Menurut laporan meltwater.com, seramai 26.8 juta rakyat Malaysia adalah pengguna media sosial yang aktif di platform itu untuk berhubung dengan rakan-rakan dan keluarga, berkongsi pengembaraan dan masakan.
Data dikumpul laman web itu turut menunjukkan rakyat Malaysia menghabiskan masa secara purata hampir tiga jam sehari melayari media sosial.
Malah, ‘kuasa netizen’ Malaysia di media sosial juga begitu dahsyat. Baru-baru ini, sebanyak RM9 juta dana berjaya dikutip bagi membantu seorang bayi berusia sembilan bulan yang menghidap penyakit jarang jumpa, Spinal Muscular Athropy (SMA) Type 1.
Namun, media sosial juga dikatakan mempunyai sisi gelapnya dalam mempengaruhi pengguna khususnya orang muda, remaja dan kanak-kanak.
Mana tidaknya, ramai golongan muda dan kanak-kanak turut terikut-ikut yang mana menurut pakar berpunca daripada keinginan mereka untuk diterima rakan sebaya.
Menurut Pakar Psikologi Kaunseling, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Fauziah Mohd. Saad, penggunaan gajet atau media sosial boleh menyebabkan ketagihan jika tidak dikawal kerana platform itu mempunyai pelbagai kandungan yang menarik minat penggunanya.
Katanya, ada pengguna yang berasa seronok apabila hantaran atau perkongsian mereka mendapat perhatian dan ia boleh menyebabkan ketagihan.
“Apa yang membimbangkan ialah pengguna yang ketagih perhatian mula membuat hantaran sesuka hati tanpa memikirkan kesannya kepada diri sendiri atau orang lain.
“Selain itu, perlu ada adab ketika menggunakan media sosial kerana kita tidak tahu bagaimana struktur psikologi orang yang kita berinteraksi di platform itu.
“Mungkin ada orang yang boleh terima, tetapi ada juga sebaliknya sehingga boleh mencetus tekanan dan berpotensi melakukan sesuatu tindakan yang boleh beri kesan buruk terhadap diri mereka,” ujarnya.
Justeru itu, beliau berkata, bagi memastikan orang muda termasuk remaja berkembang secara positif, ibu bapa perlu memantau pengaruh media sosial ke atas anak masing-masing.
Secara ringkasnya, media sosial memberikan kesan dan pengaruh baik serta buruk kepada masyarakat pada masa kini.
Setiap pengguna media sosial mempunyai tanggungjawab masing-masing dalam mengaplikasikan penggunaan media sosial dengan cara tersendiri.
Gunakan kemudahan ini secara seimbang, baik dari segi akademik, fizikal atau mental dan tidak berlebihan sehingga memudaratkan diri. Media sosial adalah tanggungjawab semua.
-Agenda Daily
No comments:
Post a Comment