Kota Bharu: Pas menyifatkan pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim termasuk pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Tok Bali bukanlah projek baharu, sebaliknya hanya meneruskan yang sedia ada selain menukar nama sahaja.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata tiada perkara baru yang dinyatakan Perdana Menteri semalam.
"Ia hanya meneruskan apa yang sudah dilaksanakan oleh pihak Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) ketika saya menerajuinya sebelum ini.
"Projek LRA Tok Bali bukanlah satu projek yang baharu, ia sekadar perubahan nama dari LRA Semerak yang dinamakan KASA sebelum ini.
"Penamaan LRA Semerak ketika itu dibuat kerana ia dibina di tepi Sungai Semerak dan di atas tanah milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Semerak," katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Tuan Ibrahim bagaimanapun menyambut baik pengumuman Perdana Menteri itu yang mahu menyelesaikan masalah air di Kelantan.
"Alhamdulillah, demi kesejahteraan dan kebaikan, ia sememangnya wajar diteruskan. Insya-Allah saya yakin projek LRA akan siap sebagaimana jadual dan akan memberikan kebaikan untuk rakyat," katanya.
Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan meluluskan peruntukan segera sebanyak RM500 juta bagi mengatasi masalah bekalan air di Kelantan.
Katanya, peruntukan itu bagi menyegerakan pembinaan LRA Tok Bali dan penggantian paip di Bachok.
-myMetro
No comments:
Post a Comment