Lim Guan Eng sepatutnya mencermin dirinya sendiri sebelum menggesa wakil rakyat Pulau Pinang supaya tidak menjadi pengkhianat kepada rakyat di negeri Pulau Mutiara tersebut.
Ahli Parlimen (MP) Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan itu mengembalikan paku buah keras kepada Pengerusi DAP itu yang tidak sedar DAP sendiri mengkhianati rakyat di Pulau Pinang dengan mempersoalkan isu terowong dan pengambilalihan kampung tradisi atas alasan pembangunan.
“.Tapi yang saya nak tanya pada hari ini dalam keadaan DAP telah memerintah hampir empat penggal di negeri Pulau Pinang, saya ingin bertanya berkaitan dengan beberapa perkara.
“Adakah ini juga satu pengkhianatan kepada rakyat negeri Pulau Pinang yang pertama berkaitan dengan isu terowong. Manakala kita lihat isu terowong ini telah dibayar kepada dua syarikat yang mana jumlahnya hampir RM200 juta lebih dalam bentuk tanah kepada dua syarikat sedangkan tanah tersebut merupakan hak rakyat negeri Pulau Pinang… Kita lihat terowong sampai hari ini belum ada lagi dibina,” katanya dalam satu video dikongsi di Facebook.
Untuk rekod, Guan Eng ketika ini berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta, dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702, di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek itu dan dituduh melakukan perbuatan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City pada Mac 2011.
Bekas Setiausaha Agung DAP itu turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat, yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.
Muhammad Fawwaz juga membangkitkan isu berhubung isu pengambilalihan tanah kampung tradisi yang menjadi punca kebanyakan rakyat di Pulau Pinang tidak mampu memiliki rumah kerana harga yang terlalu mahal
“Yang kedua, adakah ini juga satu pengkhianatan hampir 29 buah kampung tradisi yang ada di negeri Pulau Pinang dilenyapkan demi untuk pembangunan di negeri Pulau Pinang.
“Yang mana hari ni kita boleh tengok kebanyakan daripada rakyat negeri Pulau Pinang membeli rumah di luar daripada negeri Pulau Pinang. Mereka tak mampu untuk membeli rumah negeri-negeri Pulau Pinang. Harganya sangat-sangat mahal,” ujarnya lagi.
Isu ketika dibangkitkan Muhammad Fawwaz juga berhubung masalah banjir kilat yang dilihat gagal ditangani oleh kerajaan DAP di Pulau Pinang yang berpunca akibat daripada pembangunan yang tidak lestari.
“Yang ketiga, banjir kilat di negeri Pulau Pinang walaupun negerinya kecil sedangkan banjir kilat.bila berlaku ia pasti akan merosakkan harta benda rakyat di negeri Pulau Pinang.
“Banjir kilat ini berlaku disebabkan pembangunan yang tidak seimbang yang dirancang oleh kerajaan DAP di negeri Pulau Pinang.
“Hasil daripada perkara tersebutlah menjadikan banjir kilat sentiasa berlaku di negeri Pulau Pinang,” ujarnya lagi.
Jelasnya lagi, rakyat di Pulau Pinang boleh menilai siapa sebenarnya pengkhianat dan Guan Eng tidak perlu menunding jari kepada pembangkang di negeri tersebut walhal mereka sendiri yang menjadi pengkhianat kepada rakyat.
Untuk rekod, cadangan kerajaan DAP Pulau Pinang untuk membina tiga pulau buatan dalam Projek Selatan Pulau Pinang (PSI) yang dibantah oleh penduduk di negeri tersebut.
Projek tersebut menerima kecaman banyak pihak, antaranya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Penang Forum, Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).
-Agenda Daily
No comments:
Post a Comment