MAKKAH: Kesemua 31,600 jemaah Malaysia memulakan perjalanan kemuncak ibadah haji atau masyair dengan bergerak ke Arafah, hari ini, untuk berwukuf bersama hampir tiga juta Dhuyufurrahman dari seluruh dunia, esok.
Mereka dibawa secara berperingkat dari seawal jam 7 pagi dengan menaiki 21 bas disediakan bagi setiap maktab yang terdiri daripada kira-kira 3,000 jemaah Malaysia. Ada sembilan maktab ditempatkan di 12 bangunan penginapan jemaah Malaysia di Makkah.
Setiap bas terbabit melakukan tiga pusingan perjalanan atau 'trip' membabitkan jarak 21.9 kilometer (km) sehala dari Makkah ke Arafah.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, turut hadir untuk menyantuni jemaah di Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) di Makkah, Abraj Al-Janadriyah, sebelum mereka bertolak ke Arafah.
Syed Saleh berkata, petugas haji kemudian akan melakukan pemeriksaan dari bilik ke bilik di semua bangunan penginapan dan meronda di dalam Masjidil Haram serta kawasan sekitarnya bagi memastikan tiada jemaah yang 'tercicir' dibawa untuk berwukuf.
Sekiranya ada jemaah Malaysia yang dikesan masih tertinggal di Makkah, katanya, mereka akan dibawa ke Arafah oleh baki pasukan petugas yang dijadualkan bergerak, esok.
"Keseluruhan kemudahan dan perkhidmatan untuk jemaah Malaysia sudah diaktifkan sejak malam tadi lagi. Seramai 300 petugas haji 'advance party' telah berada di Arafah untuk memastikan semuanya dalam keadaan tersedia bagi menyambut ketibaan jemaah.
"Kita juga sudah 'set up' bilik gerakan di Arafah yang diaktifkan pada jam 4 pagi tadi. Insya-Allah, ia akan menjadi nadi pergerakan dan operasi kita di Arafah pada musim haji ini," katanya kepada pemberita di Abraj Al-Janadriyah.
Dalam pada itu, Syed Saleh berkata, teks khutbah Arafah juga telah disedia dan diselaraskan untuk disampaikan kepada seluruh jemaah Malaysia pada hari wukuf, esok.
"Kepada semua jemaah Malaysia, saya mengucapkan selamat berwukuf serta memulakan perjalanan haji, semoga dipermudahkan oleh Allah SWT dan akhirnya dikurniakan haji mabrur, insya-Allah," katanya.
Jemaah dari Kota Bharu, Kelantan, Mahasan Abd Rahman, 64, mengaku sukar melelapkan mata pada malam tadi kerana hati berbaur perasaan sebak, gembira, berdebar-debar dan penuh pengharapan untuk melaksanakan kemuncak ibadah haji.
"Sebagai persediaan, kami sesama rakan sebilik selalu berbincang dan saling membantu mengenai perkara yang perlu dilakukan.
"Semoga Allah SWT mempermudahkan urusan, mengurniakan kesihatan yang baik, serta menerima ibadah haji kita," katanya.
Jemaah dari Kedah, Siti Eshah Ahmad, 65, juga senada berharap Allah SWT memudahkan kerja haji beliau dan rakan jemaah lain
Sementara itu Pengarah Operasi Perubatan Makkah, Dr Amin Sah Ahmad pula memaklumkan setakat pagi semalam, seramai 60 jemaah Malaysia yang berada di wad Pusat TH Makkah dan hospital Arab Saudi akan dibawa berwukuf menggunakan enam bas khas dan empat ambulans.
"Melalui inisiatif bawah program Safari Wukuf itu, jemaah terbabit akan diiringi seramai 111 petugas perubatan dan kesihatan," katanya.
Khutbah Arafah pula akan disampaikan oleh Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) di dalam setiap kenderaan berkenaan di suatu kawasan yang dikhaskan di Arafah.
Ketua Pakar Perubatan di Pusat Rawatan TH Makkah, Dr Nabilah Salman Parasi @ Sulaiman, berkata pesakit yang dibawa ke Arafah melalui program Safari Wukuf kali ini meliputi kategori kritikal, semikritikal, stabil, psikiatri dan tidak kritikal.
-BH Online
No comments:
Post a Comment