Kuala Lumpur: Orang ramai diingatkan tidak memuat turun aplikasi hasad Pink WhatsApp yang boleh mengakses semua maklumat dalam telefon pintar mereka.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan aplikasi berkenaan kononnya menawarkan ciri keselamatan dan privasi lebih baik, antaramuka boleh diubah suai serta keupayaan menghantar fail lebih besar berbanding aplikasi WhatsApp yang biasa digunakan.
Namun, katanya, selepas pemasangan, aplikasi hasad berkenaan boleh mengakses pelbagai maklumat dalam telefon pintar pengguna seperti gambar, sistem pesanan ringkas (SMS) dan senarai kenalan yang boleh membawa kepada risiko keselamatan serius.
"Pengguna akan menerima mesej dan pautan seolah-olah datang daripada WhatsApp yang mengajak pengguna untuk mencuba aplikasi baharu itu.
"SKMM menasihatkan pengguna untuk tidak memuat turun dan memasang aplikasi Pink WhatsApp, dan segera membuang aplikasi berkenaan sekiranya sudah dipasang dalam telefon pintar mereka.
"SKMM mengesyorkan pengguna supaya hanya memuat turun aplikasi mudah alih daripada gedung aplikasi rasmi seperti Apple App Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery.
"Pengguna juga diminta untuk tidak menyebarluaskan sebarang pautan yang mencurigakan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
SKMM turut menekankan kepentingan pengguna berhati-hati ketika menggunakan aplikasi mudah alih, mengambil langkah pencegahan untuk melindungi maklumat peribadi serta mengelak daripada memuat turun aplikasi hasad.
"Pengguna juga disarankan kekal berwaspada dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan Pink WhatsApp kepada portal Aduan MCMC di pautan https://aduan.mcmc.gov.my/#/public/main atau talian hotline Aduan di 1800- 188-030," katanya.
-myMetro
No comments:
Post a Comment