ALOR SETAR: Pas Kedah menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah.
Pesuruhjayanya, Datuk Ahmad Yahaya berkata, pemilikan Pulau Pinang oleh Kedah adalah fakta sejarah yang tidak boleh diputar belit selain mempunyai sokongan kajian yang kukuh.
Oleh itu, ujar beliau, langkah mempertahan naratif sejarah berkaitan perkara itu bukan suatu perlakuan jenayah, bahkan tidak ada merit untuk mengklasifikannya sebagai hasutan yang termaktub di bawah Akta Hasutan.
“Perdana Menteri tidak harus secara berterusan mempolitikkan isu ini. Kecaman dan tekanan yang dihamburkan terhadap Kedah bertitik tolak daripada dendam kekalahan besar Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.
“Hakikatnya, sememangnya terdapat usaha membunuh karakter seorang yang bernama Sanusi. Mereka lebih berminat menjatuhkan Menteri Besar Kedah berbanding berbahas soal sejarah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan Muhammad Sanusi sedia memberi kerjasama kepada pihak polis berhubung kenyataan kontroversinya yang dibuat pada 29 Mei lalu bahawa Pulau Pinang milik Kedah dan tidak ada sempadan antara kedua-dua negeri itu.
“Setakat ini, saya belum beri keterangan. Mungkin esok (hari ini) depa mai (ambil keterangan). Saya sedia beri kerjasama, 1,000 percent,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sementara itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, pihaknya turut berpegang kepada pendirian bahawa isu tersebut tidak harus disamakan dengan isu tuntutan Kesultanan Sulu ke atas Sabah mahupun hubungan Siam dengan Kedah.
Katanya, isu Pulau Pinang milik Kedah yang dibangkitkan pada hari ini tidak melibatkan kedaulatan sempadan negara.
“Kerajaan negeri Kedah telah berulang kali menuntut hak pajakan Pulau Pinang, penyelesaian isu caj air mentah serta kelulusan projek Kedah Aerotropolis.
“Malangnya kesemua ini sengaja didiamkan serta dilengahkan tidak sebagaimana pantasnya Perdana Menteri tersinggung dengan isu pemilikan Pulau Pinang pada hari ini,” katanya. –UTUSAN
No comments:
Post a Comment