Pengerusi PH Terengganu Raja Kamarul Bahrin berkata pihaknya tidak pernah membincangkan isu calon menteri besar negeri itu.
PETALING JAYA: Kenyataan Ahli Majlis Pimpinan PKR Terengganu Azan Ismail sedia menyokong Ahmad Said sebagai “poster boy” negeri itu pada PRN akan datang dianggap hanya pandangan peribadinya.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Raja Kamarul Bahrin, dalam kenyataan berkata ketika ini rundingan kerusi masih berjalan, sambil menambah pihaknya tidak pernah membincangkan isu “poster boy”.
“Sehubungan itu segala kenyataan mengenai ‘poster boy’ tersebut adalah pandangan individu sahaja dan bukan keputusan PH Terengganu,” katanya.
Semalam, PKR Terengganu menyatakan kesediaan menyokong ketua Umno negeri itu sebagai “poster boy” kerajaan perpaduan bagi menawan Terengganu pada PRN, asalkan ahli politik veteran tersebut sudi dipaparkan bersama Anwar Ibrahim.
Azan memberitahu FMT, partinya sedia menyokong Ahmad sebagai wajah jentera PH-BN jika beliau digandingkan dengan presidennya, selaku wajah kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan.
BN Terengganu sebelum ini berkata, mereka akan mempertaruhkan Ahmad sebagai wajah gabungan itu pada PRN, dan akan mencalonkan beliau sebagai menteri besar jika berjaya menawan Terengganu.
Raja Kamarul turut berkata, selepas rundingan kerusi selesai dan tiada persetujuan berkaitan calon menteri besar, maka ia akan ditentukan oleh keputusan PRN.
Katanya, gabungan itu juga akan mengambil kira ciri-ciri calon tersebut seperti seorang yang berhemah tinggi dan disenangi serta mempunyai hubungan baik dengan semua pihak.
“Apa yang penting sekarang adalah rundingan kerusi mesti diselesaikan segera dengan suasana yang baik dan harmoni bagi menghadapi cabaran PRN,” katanya.-FMT
No comments:
Post a Comment