Ada hikmah Perikatan Nasional (PN) tidak menjadi kerajaan pusat dan Datuk Seri Anwar Ibrahim naik menjadi Perdana Menteri (PM) selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu, kata Ahmad Fadhli Shaari.
Ketua Pemuda PAS dan PN itu berkata apabila Anwar menjadi PM, akhirnya rakyat dapat melihat wajah sebenar seorang individu yang hanya pandai bercakap dan berjoget tetapi tidak tahu menguruskan negara.
“Tak apalah kita tidak mahu cerita benda dah lepas.
“Tapi nak sebutnya bahawa mungkinlah kerana kita rasa bahawa kita nak menang dah, Allah tangguh kemenangan dan Tuhan beri sementara PM (Anwar) ni jadi Perdana Menteri untuk rakyat kenal, siapa dia wajah Perdana Menteri ditaja oleh Pakatan Harapan (PH).
“Begini rupa-rupanya, kita pelik ini kali pertama kita dapat seorang Perdana Menteri yang kita berasa malu, rasa malu kalau ini Perdana Menteri kita,” katanya semasa ceramah Pakat Pertahan yang diadakan di Parlimen Pasir Mas malam tadi.
Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas itu mengungkit lawatan Anwar baru-baru ini ke sebuah universiti di Kelantan dan dilihat terkinja-kinja dalam satu video tular bersama-sama pelajar.
“Tengok bila mari ke Kelantan baru ni turun ke universiti, jadi Perdana Menteri kena ada kekuatan, ada kita panggil kehormatan kita sebagai seorang memimpin.
“Turun di universiti budak tak dan (sempat) berjoget lagi dia berjoget dah. Tengok dak video ni tuan-tuan tengok dak?” katanya lagi.
Terdahulu, tular dalam media sosial Anwar berjoget bersama para pelajar selepas program ‘Temu Anwar’ di Universiti Malaysia Kelantan baru-baru ini.
Untuk rekod, Anwar semasa program tersebut juga bersetuju untuk memberikan kelonggaran kepada mahasiswa untuk mengadakan konsert atau persembahan nyanyian dan kebudayaan di kampus.
-Agenda Daily
No comments:
Post a Comment