New York: Empat orang terbunuh selepas bateri litium basikal elektrik meletup hingga mencetuskan kebakaran di sebuah bangunan di New York, Amerika Syarikat.
Kebakaran itu berlaku semalam, di kedai penyelenggaraan basikal dan skuter elektrik yang terletak di tingkat bawah sebuah bangunan di Chinatown.
Gambar disiarkan Jabatan Bomba New York di Twitter menunjukkan, satu longgokan besar kenderaan dua roda hitam, hangus dan kelihatan berselerak di luar premis itu.
Pesuruhjaya bomba bandar itu, Laura Kavanagh berkata, empat orang maut, manakala dua lagi parah.
"Punca kebakaran disebabkan bateri lithium ion basikal elektrik.
"Bateri berisiko terbakar jika ia bateri lama, tidak berkualiti atau bertindih antara satu sama lain semasa mengecas," katanya dalam sidang media.
Mengulas lanjut katanya, pemilik premis itu sebelum ini direkodkan melanggar prosedur keselamatan.
Mengikut rekod bomba, kejadian berkenaan adalah ke-108 dilaporkan di New York, sepanjang tahun ini.
Katanya, daripada jumlah itu 66 cedera, manakala 13 maut.
April lalu, seorang wanita dan adik lelakinya masing-masing berusia 19 tahun dan tujuh tahun terbunuh dalam kebakaran seumpama itu di daerah Queens.
Kebakaran yang dikaitkan dengan basikal elektrik dan skuter di New York semakin meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini daripada 44 pada 2020 kepada 220 tahun lalu.
Faktor ini disebabkan penduduk membeli lebih banyak peranti elektrik itu terutama untuk perkhidmatan penghantaran makanan yang sangat popular di bandar itu.
-myMetro
No comments:
Post a Comment