Tengku Razaleigh adalah Ahli Parlimen Ulu Kelantan dari 1974 hingga 1986 sebelum dikenali Gua Musang yang diwakilinya sehingga November 2022. (Gambar Ku Li)
PETALING JAYA: Penganalisis politik berpendapat veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah bukan pilihan terbaik untuk mengetuai cabaran Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk menawan Kelantan pada PRN.
Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata Tengku Razaleigh atau lebih dikenali Ku Li telah melalui zaman kegemilangannya dan tidak lagi mampu menarik sokongan seperti sebelum ini.
“Perlu ada pemimpin untuk memberi gambaran masa depan, bukan masa lalu walaupun sebaik mana beliau terutama dalam era pengundi muda mendominasi,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas cadangan AJK Pimpinan Amanah Wan Abdul Rahim Wan Abdullah supaya Ku Li dilantik pengarah pilihan raya BN dan PH bagi PRN Kelantan.
Wan Abdul Rahim menyifatkan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai ‘ikon politik’ yang boleh mencetuskan gelombang di Kelantan, selepas Mursyidul Am PAS Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Ahmad Fauzi memberi amaran kebergantungan kepada pengaruh bekas Ahli Parlimen Gua Musang itu disifatkan sebagai langkah jangka pendek dan menunjukkan BN kekurangan pemimpin.
Menurutnya, BN sebaliknya harus menjauhkan diri daripada kegiatan rasuah.
“Ini termasuk (jauhkan diri) berkaitan Najib Razak, yang masih disayangi ramai ahli Umno,” katanya.
Sementara itu, Azmi Hasan dari Akademi Nusantara berkata Ku Li tidak lagi mampu menarik ramai sokongan Melayu.
“Pada PRU15, Tengku Razaleigh kalah kepada calon PAS di Gua Musang.
“Saya percaya tugas berat buatnya untuk memenagi undi Melayu buat BN,” katanya.
Ku Li adalah Ahli Parlimen Ulu Kelantan dari 1974 hingga 1986 sebelum dikenali Gua Musang yang diwakilinya sehingga November 2022.-FMT
No comments:
Post a Comment