Muazin, tukang azan, tok bilal. Bermacam-macam gelaran yang diberikan kepada insan penting ini.
Tiba sahaja waktu solat, pastinya suara mereka yang akan didengari umat Islam seluruh negara.
Bunyinya mendayu-dayu memanggil semua untuk meninggalkan apa sahaja tugas yang dilakukan untuk menghadap ALLAH yang Maha Esa.
Jumhur ulama dalam kalangan mazhab Imam al-Syafii menerangkan bahawa hukum azan dan iqamah bagi solat fardu adalah sunat muakkad atau sangat dituntut.
Oleh itu, dengan menawarkan hadiah bernilai RM110,000, umat Islam dicabar menyertai pertandingan azan secara dalam talian menerusi program Muazin terbitan syarikat milik Datuk Rosyam Nor, Suhan Channel.
Memetik laporan berita Rosyam memaklumkan bahawa inisiatif yanmg julung kali diadakan secara maya itu adalah bagi meraikan keindahan, kesenian dan kepentingan azan selaku panggilan mengerjakan solat.
“Saluran YouTube Suhan Channel berbesar hati berpeluang menyemarakkan keindahan laungan azan menerusi pertandingan yang dibuka kepada ramai secara online.
“Ini juga peluang kepada masyarakat melihat peserta menggunakan kaedah berbeza dalam mengalunkan suara mereka menyampaikan azan.
“Jadi saya mempelawa semua umat Islam yang gemar menggunakan sosial media untuk menyahut cabaran ini, sekali gus menonjolkan bakat kecemerlangan azan anda,” katanya.
Katanya lagi, pertandingan diadakan menerusi platform media sosial itu menyaksikan peserta perlu memuat naik video laungan azan dalam TikTok, Facebook atau Instagram.
Penyertaan Muazin bermula dari 7 hingga 26 Julai ini dengan menawarkan hadiah berjumlah RM110,000 berupa wang tunai, trofi, pakej mengerjakan umrah, hamper dan sejadah.
Sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu dewasa, remaja dan kanak-kanak, manakala prestasi dinilai berdasarkan kualiti suara, ketepatan nada, ekspresi, emosi dan keseluruhan persembahan.
Barisan panel juri pula terdiri daripada ustaz bertauliah dalam bidang taranum dan tajwid seperti Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman, Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad dan Ustaz Amir Rahman Abas.
-Info Rakyat
No comments:
Post a Comment