KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menyekat transaksi perpindahan wang lebih RM28 juta ke akaun bank di luar negara kerana disyaki terlibat dengan penipuan Business Email Compromise (BEC).
Kegiatan sindiket BEC ini dipercayai melakukan penipuan dengan menggodam e-mel syarikat tertentu bagi tujuan memantau urus niaga syarikat berkenaan sebelum menyamar sebagai rakan kongsi perniagaan atau pembekal untuk mendapatkan wang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata sekatan itu merupakan hasil kerjasama Bank Negara dan institusi kewangan yang terlibat serta laporan polis oleh seorang mangsa yang diterima pada Khamis lepas.
Beliau berkata berdasarkan siasatan, sejak Januari tahun ini, syarikat mangsa yang berpangkalan di Malaysia telah berurusan dengan sebuah syarikat di luar negara bagi mendapatkan bekalan LPG (gas petroleum cecair).
“Bagaimanapun pada 22 Jun lepas, pihak syarikat menerima e-mel daripada wakil syarikat pembekal yang mengarahkan pembayaran dibuat ke akaun yang baharu,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Ramli berkata percaya dengan arahan yang diberikan, syarikat mangsa telah membuat pembayaran ke akaun itu.
“ (Malangnya) mangsa hanya menyedari telah ditipu apabila syarikat pembekal yang sebenar memaklumkan mereka masih tidak menerima pembayaran,” katanya.
Beliau berkata bertindak atas maklumat, PDRM dengan kerjasama BNM dan institusi kewangan terlibat telah menjejaki wang yang dipindahkan dan berjaya menyekat sejumlah RM28,361,636.68 daripada dipindahkan ke akaun bank di luar negara.
Ramli berkata kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu.
Beliau berkata sebagai langkah pencegahan, masyarakat khususnya ahli perniagaan yang menggunakan e-mel dalam urusan seharian diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan memastikan e-mel yang diterima adalah daripada pihak pembeli atau penjual yang sebenar.
“Waspada sekiranya terdapat arahan berkaitan perubahan akaun bank bagi tujuan pembayaran. Sebaiknya, hubungilah syarikat penjual atau pembeli melalui panggilan telefon bagi mendapatkan pengesahan berkenaan perubahan akaun tersebut,” katanya. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment