KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengambil keterangan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung kenyataannya yang didakwa menghina Sultan Selangor.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sudah merakam percakapan Muhammad Sanusi di sebuah hotel di Bangsar, awal pagi tadi.
"Kita juga sudah merakam percakapan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng di Pulau Pinang, hari ini.
"Keterangan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pula sudah diambil di pejabatnya di Jalan Raja Laut, di sini, jam 3.30 petang semalam.
"Kertas siasatan membabitkan ketiga-tiga ahli politik itu sedang dilengkapkan sebelum dihantar ke pejabat Peguam Negara selewat-lewatnya Isnin ini," katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam, polis mengesahkan membuka siasatan terhadap Muhammad Sanusi berhubung kenyataannya yang didakwa menghina Sultan Selangor.
Ahad lalu, polis mengesahkan menjalankan siasatan terhadap Abdul Hadi berhubung kenyataan yang mendakwa DAP mahu mengekalkan pengertian Islam dalam Perlembagaan Persekutuan berdasarkan tafsiran penjajah menjunjung liberalisme dan kebebasan diamalkan negara Barat.
Kenyataan itu dipercayai dilakukan melalui hantaran dalam Facebook Abdul Hadi yang dimuat naik 8 Julai lalu, turut diulas serta diterbitkan oleh portal berita New Straits Times.
Siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) JSJ Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 Komunikasi dan Multimedia 1998.
Selain itu, Razarudin dilaporkan berkata, pihaknya turut menyiasat kenyataan Guan Eng yang mendakwa 'gelombang hijau' bakal musnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang.
-BH Online
No comments:
Post a Comment