PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi percaya Pengerusi DAP, Lim Guan Eng sedia memberi kerjasama kepada polis susulan dakwaan sengaja membangkitkan isu 3R iaitu agama, raja dan kaum dalam satu ceramahnya.
Isu itu didakwa berkaitan ucapan Guan Eng yang menyentuh mengenai perobohan tokong Buddha atau Cina jika 'gelombang hijau' menguasai Pulau Pinang.
Guan Eng menafikan tuduhan itu dan mendakwa ucapannya diputar belit portal berita.
Timbalan Perdana Menteri berkata apa sahaja kebenaran yang dikatakan Guan Eng, polis sudah memberi komitmen untuk menyiasat dan mengambil tindakan.
"Seperti yang saya katakan semalam dalam kenyataan media di Dataran Merdeka, meskipun kita kini berada pada suasana hangat pilihan raya, jika kita berbeza pandangan politik sekalipun, sebaiknya perbezaan itu ditangani dengan akhlak yang baik.
"Janganlah kita lakukan 'character assassination' (pembunuhan karakter) kerana ia bakal mencetuskan situasi yang tidak harmoni di antara kita rakyat Malaysia," katanya menerusi perkongsian di Facebook hari ini.
Sebelum ini, sebuah portal berita tempatan yang memetik laporan akhbar Bahasa Mandarin melaporkan, Guan Eng memberi amaran kepada pengundi Pulau Pinang untuk menyekat 'gelombang hijau' daripada bertapak di negeri itu.
Guan Eng mendakwa, ia akan mengakibatkan tokong Buddha dimusnahkan dan orang bukan Islam berdepan pelbagai sekatan.
Susulan itu, Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh, meminta polis menyiasat kenyataan Guan Eng yang mendakwa 'gelombang hijau' bakal musnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang.
Akmal berkata, tindakan itu sebagai memberi amaran keras supaya tidak sesekali mempermainkan isu 3R tanpa mengira parti.
Bagaimanapun, menerusi hantaran di Facebooknya, Guan Eng menolak dakwaan beliau sengaja membangkitkan isu 3R ketika menyentuh berkenaan perobohan tokong Buddha atau Cina dalam ucapan pada satu program di Jelutong, Pulau Pinang.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, semua pihak seharusnya mengelakkan memfitnah antara satu sama lain dalam berpolitik dan sebarang perkara tidak jelas, harus dirungkai dengan penuh hemah dan mengikut perundangan.
-BH Online
No comments:
Post a Comment