Tiada rekod menunjukkan wanita warga China yang dikaitkan dengan insiden ‘pencerobohan’ menteri di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) keluar dari negara ini, lapor Harian Metro.
Memetik sumber, akhbar itu mendakwa wanita yang dikenali sebagai Wang Xu itu masih belum pulang ke negara asal.
“Rekod (Jabatan Imigresen Malaysia) menunjukkan tarikh masuk adalah pada 29 Jun dan pas masuk akan tamat pada 28 Julai ini.
“Berdasarkan rekod memang didapati individu terbabit masih belum keluar dari negara ini.
“Untuk pengetahuan, mana-mana individu bukan warganegara boleh keluar melalui mana-mana pintu sempadan di negara ini dan sistem akan menunjukkan pintu individu terbabit keluar.
“Kecuali individu terbabit menggunakan laluan tikus,” katanya.
Pada 5 Julai lalu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memaklumkan wanita berkenaan sudah pulang ke negaranya.
Sebelum ini, Bebas News melaporkan seorang seorang menteri menceroboh masuk balai ketibaan antarabangsa di KLIA 29 Jun lalu gara-gara ingin ‘menyelamatkan’ wanita warga China yang dinafikan daripada memasuki negara ini.
Susulan itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing mengakui dirinya adalah menteri yang dilaporkan itu sambil mendakwa kehadirannya itu bagi membongkar budaya rasuah yang berlaku di situ.
Azam kemudiannya dilaporkan berkata sudah mengambil keterangan King Sing dan wanita tersebut untuk siasatan lanjut.
-Agenda Daily
No comments:
Post a Comment