Peguam mewakili Dr Mahathir Mohamad, Mior Nor Haidir Suhaimi berkata, tiada tanda-tanda menunjukkan kedua-dua kes akan dapat diselesaikan tanpa pertikaian.
KUALA LUMPUR: Dua kes saman fitnah membabitkan Dr Mahathir Mohamad dan Zahid Hamidi berkemungkinan akan dibicarakan hujung tahun ini memandangkan peluang untuk kedua-dua pihak menyelesaikan kes di luar mahkamah dilihat tipis.
Peguam mewakili Mahathir, Mior Nor Haidir Suhaimi berkata, buat masa ini, tiada tanda-tanda menunjukkan kes-kes itu akan dapat diselesaikan tanpa pertikaian.
“Oleh itu, tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan lebih awal akan dikekalkan,” katanya kepada pemberita selepas sidang pengurusan kes dalam talian di hadapan Hakim Rozana Ali Yusoff hari ini.
Mior berkata, hakim meminta pihak-pihak untuk memaklumkan kepada mahkamah sekiranya terdapat perkembangan sebelum perbicaraan bermula.
Sharul Fazli Kamarulzaman dan Intan Hanis Afiqah Razali tampil selaku peguam bagi pihak Zahid.
Pada 14 April, mahkamah mencadangkan agar Mahathir dan Zahid meneroka kebarangkalian dua saman fitnah antara mereka diselesaikan, berbanding menjalani perbicaraan.
Mahkamah sebelum ini menetapkan perbicaraan empat hari bermula 11 Sept untuk mendengar saman Mahathir terhadap Zahid berhubung dakwaan Zahid menggunakan nama “Kutty” dengan tujuan menghina untuk merujuk kepada Mahathir.
Dalam pernyataan tuntutannya, Mahathir mendakwa Zahid memfitnahnya semasa mesyuarat bahagian Umno di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.
Beliau mendakwa kenyataan itu bertujuan membayangkan bahawa beliau tidak dilahirkan sebagai orang Melayu atau Islam, dan bahawa nama asalnya ialah “Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty”.
Dalam pembelaannya, Zahid berkata, nama itu merujuk kepada seorang individu berdasarkan maklumat daripada sekeping salinan lama kad pengenalan.
Zahid juga berkata, beliau tiada kawalan ke atas penerbitan semula kenyataan itu di mana-mana platform media.
Dalam saman kedua, Zahid menyaman Mahathir berhubung kenyataan bekas perdana menteri itu bahawa Zahid meminta bantuannya agar tuduhan rasuah terhadapnya “digugurkan”.
Mahkamah Tinggi menetapkan perbicaraan empat hari untuk saman itu bermula 6 Nov.
Pada sidang akhbar 23 Feb 2022, Mahathir mendakwa Zahid dan beberapa individu lain berjumpa dengannya di rumahnya sejurus selepas PRU14 pada 2018.
Mahathir didakwa berkata, Zahid mahu “berbaik-baik” dengannya sebelum beliau menjadi perdana menteri buat kali kedua pada Mei 2018.
Zahid mendakwa kata-kata Mahathir itu tidak benar, tidak wajar, tidak berasas dan berniat jahat.
Mahathir, dalam pembelaannya, tetap dengan kenyataannya dan berkata, beliau akan melawan saman itu.
Kedua-dua saman itu dijadualkan didengar di hadapan Rozana.-FMT
No comments:
Post a Comment