NEW YORK: Bilionair dan pemilik Twitter, Elon Musk, berkata dia mahu membuang logo burung Twitter dan menggantikannya dengan 'X'.
Bagaimanapun, Musk juga mempunyai sejarah membuat kenyataan yang gagal berlaku atau tidak serius.
Musk, yang sudah menukar nama perniagaan itu kepada X Corp berkata, penggantian berkenaan 'sepatutnya sudah lama dilakukan'.
Menurut laporan, jutawan itu mahu mencipta 'aplikasi super' yang dipanggil 'X', serupa dengan WeChat China.
Beliau pada Ahad lalu, berkata ingin menukar logo Twitter dengan tweet: "Dan tidak lama lagi kami akan mengucapkan selamat tinggal kepada jenama Twitter dan secara beransur-ansur, semua burung."
"Jika logo X cukup bagus untuk disiarkan, kami akan menyiarkannya secara langsung di seluruh dunia," katanya.
Musk menyiarkan imej X yang berkelip-kelip di Twitter dan kemudian dalam sembang audio Twitter Spaces, menjawab 'Ya' apabila ditanya sama ada logo Twitter akan berubah, sambil menambah bahawa 'ia sepatutnya sudah dilakukan lama dahulu'.
Bagi sesetengah orang di Asia, aplikasi super termasuk PayTM India dan GoJek Indonesia menjadi sebahagian yang penting dalam kehidupan seharian sejak beberapa tahun lalu.
Aplikasi berkenaan membenarkan pengguna membayar perkhidmatan melalui sistem kewangan.
WeChat ialah platform pemesejan dan media sosial yang berkembang menjadi salah satu aplikasi terbesar di rantau ini dari segi rangkaian perkhidmatan dan bilangan penggunanya.
Tahun lalu, dianggarkan ia mempunyai 1.29 bilion pengguna di China saja.
Sejak Musk membeli Twitter pada Oktober 2022, syarikat itu sudah menukar nama perniagaannya kepada X Corp.
Terbaru, Twitter disaman atas dakwaan firma itu berhutang sekurang-kurangnya AS$500 juta sebagai bayaran pemberhentian kepada bekas pekerja.
Sejak Musk membelinya, syarikat itu sudah memberhentikan lebih separuh tenaga kerjanya. - AGENSI
No comments:
Post a Comment