Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Isma (Muis), Dr Mohd Soberi Awang rebah ketika menyampaikan kuliah Subuh di Surau Al-Ittihadiyah, Seksyen 9, Shah Alam, Selangor, pagi Ahad.
Allahyarham rebah kira-kira jam 7.55 pagi sebelum disahkan meninggal dunia di hospital.
Khabar duka itu mengenai pemergian pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) itu dikongsikan oleh menantunya, Mus’ab Umairi.
“Hari ini ayah mentua saya, almarhum Ustaz Dr Soberi Awang telah kembali kepada Penciptanya. Subuh kami di Kaherah dibasahi air mata rindu.
“Alhamdulillah atas nikmat bersama baba walau cuma sekejap. Banyak Umai belajar daripada baba. Moga Allah tempatkan baba bersama para syuhada dan solihin,” tulisnya menerusi satu hantaran di Facebook.
Difahamkan, Allahyarham mengadu sakit dada dalam kuliahnya sebelum rebah dan tidak sedarkan diri selang beberapa minit.
Jemaah yang hadir kemudian menghampiri Allahyarham bagi memberi bantuan.
Sementara itu, anak perempuan tunggal Allahyarham iaitu Nadhratul Hana dalam hantaran di Facebook turut meluahkan dukacitanya atas pemergian bapanya.
“Saya akan berehat daripada media sosial untuk beberapa hari, menyelesaikan tuntutan keluarga dan untuk diri sendiri.
“Juga, kerana saya memang tak mampu melihat video yang sudah viral sehingga ke stesen televisyen. Maafkan saya tidak membalas mesej buat seketika.
“InsyaAllah saya akan pulang ke Malaysia jam 8 malam (waktu Mesir),” tulisnya.
Selain itu, Nadharatul turut memohon orang ramai mendoakan arwah bapanya.
“Terima kasih semua, terima kasih kerana mendoakan baba. Saya lega baba pergi dalam keadaan semua orang cakap baba baik,” katanya lagi.
-Info Rakyat
No comments:
Post a Comment