BUTTERWORTH: Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail malam ini mempersoalkan siapa lelaki warga China yang ditahan di sebuah hutan simpan di Sik, Kedah, berhubung isu kecurian unsur nadir bumi (REE) pada Januari lalu.
Sehubungan itu, Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri meminta Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor yang juga pengerusi Menteri Besar Diperbadankan (MBI) Kedah menjelaskan mengenai perkara itu termasuk mendedahkan identiti lelaki warga asing berkenaan.
Beliau berkata lelaki berkenaan masuk ke negara ini dengan menggunakan Pas Lawatan Iktisas dan berjawatan profesional di MBI Kedah.
Katanya, Sanusi perlu menjelaskan perkara itu kerana beliau musykil berhubung identiti lelaki berkenaan yang memperoleh visa untuk bekerja dengan MBI Kedah sedangkan Sanusi memaklumkan isu kecurian REE tiada kaitan dengannya.
"Malam tadi saya sebut dua perkara mengenai Sanusi dan hari ini dia jawab sampai heret penjawat awam sekali (menjawab), jadi malam ini saya nak tanya Sanusi lagi supaya dia boleh jawab esok.
"Apakah Sanusi boleh mengesahkan atau menamakan seorang lelaki warga China yang diberikan Pas Lawatan Iktisas dan bekerja dengan MBI (Kedah) kemudian ditangkap di Hutan Simpan Kedah? Kenapa dia (lelaki itu) ditangkap?
"Saya sebut ini supaya dia (Sanusi) tak cuci tangan sebab bila sebut pasal nadir bumi (REE), dia kata kerajaan negeri tak terlibat, MBI (Kedah) pun tak terlibat dan orang lain yang terlibat," katanya berucap pada Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Pulau Pinang, di Tapak Ekspo Seberang Jaya, di sini, malam ini.
Mengenai isu kompaun yang dibangkitkan sebelum ini, Saifuddin berkata kompaun yang dihantar ke MBI bukan dongeng dan ia memang wujud.
"Siapa curi dan siapa bayar itu soal nombor dua, faktanya ada surat kompaun dihantar kepada MBI dan itu tak berubah," katanya.
Beliau berkata perkara itu ditimbulkan untuk memberitahu rakyat bahawa Kedah lemah dari segi tata kelola.
Sementara itu, Muhammad Sanusi hari ini dilaporkan mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Saifuddin berhubung isu dana Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) dan REE itu.
Muhammad Sanusi berkata, maklumat dinyatakan Menteri Dalam Negeri itu tidak benar kerana bersifat mengelirukan, berniat jahat untuk memfitnah dan bermotifkan politik.
-BH Online
No comments:
Post a Comment