Subang: Pelakon Diana Danielle memfailkan permohonan nusyuz terhadap suaminya, Farid Kamil di Mahkamah Rendah Syariah Petaling di Subang Bestari, hari ini.
Peguam Syarie Azmi Mohd Rais yang mewakili Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson berkata, tuntutan nusyuz itu difailkan hari ini di hadapan Hakim Syarie Shukran Yusof.
"Kita sudah memfailkan tuntutan pembelaan pada masa sama pihak kita juga (Diana) turut memfailkan tuntutan balas iaitu nusyuz terhadap Farid," katanya ketika ditemui selepas prosiding nusyuz Farid terhadap Diana hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya antara sebab Diana memfailkan permohonan itu, Azmi berkata antara lain ia membabitkan tanggungjawab sebagai suami namun terma secara terperinci tidak didedahkan.
"Tunggu perbicaraan kita akan dedahkan," katanya.
Terdahulu Shukran menetapkan 23 Ogos depan bagi sebutan semula kes nusyuz yang difailkan Farid terhadap Diana dengan kedua-dua pihak perlu memfailkan tuntutan balas dan jawapan kepada pembelaan masing-masing.
Bagaimanapun dalam prosiding hari ini, peguam syarie yang mewakili Farid iaitu Fakhrul Azman Abu Hassan memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya positif Covid-19.
"Plaintif tidak dapat hadir kerana disahkan Covid-19 dan status kesihatannya sudah pun didaftarkan dibawah aplikasi MySejahtera. Namun ketidakhadiran plaintif (Farid) tidak mengganggu prosiding hari ini," katanya.
Azmi mengesahkan menerima surat mengenai keadaan Farid hari ini.
Dalam pada itu, Diana ketika ditemui selepas prosiding itu berkata, tindakannya memfailkan tuntutan nusyuz terhadap Farid disifatkan sebagai proses biasa bagi pasangan yang berdepan kemelut rumah tangga.
"Saya terima (tuntutan nusyuz) bagi saya sesiapa boleh memfailkan apa yang mereka mahu tetapi kena diikuti dengan bukti dan fakta, jadi kita akan tunggu dan lihat," katanya.
Pada 6 April lalu, Farid atau Farid Kamil Zahari, 42, memfailkan perintah kembali taat dan tuntutan sabitan nusyuz terhadap Diana.
Untuk rekod, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora berusia 8 tahun.
No comments:
Post a Comment