PETALING JAYA: Seorang bekas pemimpin sayap Umno mengakui ramai ahli parti itu tidak selesa dengan gesaan Anwar Ibrahim bahawa mereka akan menjadi pengkhianat bangsa dan agama jika mengundi pembangkang pada PRN.
Bekas ketua Puteri Umno Negeri Sembilan, June Artisha Nazari, berkata pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu tidak perlu “mengajar” sehingga sedemikian rupa kerana mereka sejak sekian lama bersama dan mempertahankan parti.
“Ahli yang memang pertahankan Umno sewaktu dia dan parti serang Umno dulu. Bukan hak dia (melabel).
“Tidak perlu ajarlah ahli Umno, mereka tahu siapa yang perlu mereka undi,” katanya kepada FMT.
June yang kini ketua Wanita Umno cawangan Parit mengulas kenyataan Anwar yang mengingatkan ahli dan bekas ahli parti itu tidak mengundi musuh pada PRN kerana ia pengkhianatan besar kepada bangsa, parti dan agama.
Anwar dilaporkan berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Perpaduan Madani, Sabtu lalu.
Sementara itu, ahli Umno Wilayah Persekutuan Izwany Malek berkata, teguran dan gesaan kepada akar umbi parti tersebut hanya perlu diselesaikan di peringkat dalaman sahaja, tanpa melibatkan Anwar.
“Tak perlu campur tangan orang luar yang akan membuatkan lagi keadaan makin keruh, sebab sebelum ini kita diajar untuk ‘say no to Anwar’.
“Tiba-tiba pula orang yang kita tolak selama ini sibuk nak ambil tahu hal kita,” katanya.
Izwany berkata, tindakan Anwar hanya akan menjejaskan peluang akar umbi Umno yang kini berada atas pagar dan bukan lagi penyokong tegar seperti sebelumnya.
“(Kenyataan itu) membolehkan pengundi Umno tidak mengundi kerajaan perpaduan,” katanya.-FMT
No comments:
Post a Comment