PETALING JAYA: Keputusan MCA dan MIC hanya menyokong calon Umno pada PRN bulan depan menyebabkan mereka berisiko lenyap jika kerajaan perpaduan meraih kemenangan besar, kata penganalisis.
Keputusan itu juga boleh dilihat sebagai menentang Pengerusi Barisan Nasional (BN) Zahid Hamidi, yang berkata gabungan tersebut akan menyokong calon kerajaan perpaduan.
Kemenangan besar bagi parti dalam kerajaan perpaduan akan menjadikan MCA dan MIC tidak relevan dari segi politik, kata penganalisis itu.
Sebelum ini, Ketua MCA Selangor Ng Chok Sin mengisytiharkan parti itu tidak mempunyai tanggungjawab untuk menyokong calon PH kerana PH tidak memenuhi “semangat kerajaan perpaduan”.
Penganalisis sosiopolitik Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya, berkata tindakan MCA-MIC pasti akan menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan rakan kongsi kerajaan perpaduan pada masa setiap undi dikira pada PRN 12 Ogos ini.
“Sikap ini bukan sahaja dilihat menggugat kepimpinan BN dan Presiden Umno Zahid, mereka juga menentang semangat BN dan kerajaan perpaduan.
“Mereka mengambil pendirian berisiko. Jika Umno dan PH berjaya mencapai kemenangan lebih besar, ini akan memakan diri kerana mereka tidak akan diperlukan sama sekali pada masa hadapan.
“Kita tahu langkah mereka adalah satu bentuk protes terhadap DAP kerana tidak memberikan mereka sebarang kerusi selamat di Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor. Saya percaya MCA dan MIC akan membuat langkah seterusnya selepas melihat bagaimana undian berjalan,” katanya kepada FMT.
Awang berkata kedua-dua parti boleh hilang segala-galanya jika terus protes.
James Chin dari Institut Asia University of Tasmania berkata, langkah kedua-dua pihak itu semata-mata untuk cuba dan kekal relevan ketika nasib mereka semakin merudum.
Beliau berkata, realitinya kedua-dua parti itu mempunyai sedikit sokongan dalam kalangan masyarakat Cina dan India.
“MCA dan MIC hidup pada masa lalu, mereka tidak mampu melakukan pembaharuan. Mereka tidak mempunyai apa-apa kecuali bergantung kepada model lama BN dan berharap Umno kembali berkuasa. Kemudian mereka boleh memainkan peranan sebagai Kapitan Cina dan Kapitan India. “Mereka sebenarnya tidak begitu relevan dalam politik hari ini. Sekarang, politik bukan Melayu tertumpu kepada DAP dan PKR. Melainkan ada perubahan besar dalam PRU akan datang, inilah realitinya,” katanya.
Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia mempersoalkan rasional protes MCA-MIC.
“Mengapa DAP perlu memberikan kerusi selamatnya kepada MCA?” katanya. “Peraturan parti penyandang untuk mempertahankan kerusi yang mereka pegang adalah munasabah dan perjanjian terbaik untuk mengekalkan perpaduan dalam kalangan rakan gabungan.” - FMT
No comments:
Post a Comment