Razarudin Husain berkata kertas siasatan terhadap Sanusi dibuka Rabu lalu dan keterangannya diambil hari ini.
PETALING JAYA: Polis sudah mengambil keterangan Menteri Besar Kedah, Sanusi Nor berhubung dakwaan menghina Sultan Selangor selepas menerima 31 laporan di seluruh negara.
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain berkata kertas siasatan terhadap Sanusi dibuka Rabu lalu dan keterangannya diambil polis di ibu negara hari ini.
“Setakat 11 pagi ini (Jumaat), kita telah terima 31 laporan polis.
“Siasatan dijalankan pasukan khas dari Bukit Aman yang memfokuskan isu 3R, iaitu berkait agama, kaum dan institusi diraja,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata, kes membabitkan 3R akan disiasat segera mengikut Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948 serta Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Isu 3R ini kerap dimainkan, terutama apabila hampir PRN. Mana-mana pihak, termasuklah badan bukan kerajaan (NGO), ahli politik atau bekas ahli politik didapati cuba memainkan isu ini tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.”
Sanusi dalam sebuah ceramah di Selayang Selasa lalu membuat perbandingan antara Sultan Kedah dan Sultan Selangor dalam melantik Amirudin Shari menjadi menteri besar Selangor yang dilabelnya “cokia” (tiada kualiti).
Susulan itu, Amirudin dilaporkan menempelak Sanusi yang disifatkannya “kurang ajar” terhadap raja-raja Melayu, selain menyentuh isu 3R.
Selain Sanusi, polis turut menyiasat bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, Pengerusi DAP Lim Guan Eng dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang membabitkan isu 3R.
Dalam pada itu, Razarudin hari ini berkata, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengambil keterangan Hadi di pejabatnya di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur semalam.
Katanya, keterangan Lim pula diambil di Pulau Pinang pada Jumaat, di mana kertas siasatan dua ahli politik itu sedang dilengkapkan sebelum dihantar ke pejabat peguam negara selewat-lewatnya Isnin depan.-FMT
ARTIKRL BERKAITAN: Isu 3R: Polis sedang lengkap siasatan terhadap Sanusi, Guan Eng, Abdul Hadi
No comments:
Post a Comment