REMBAU: Logo dan slogan ‘Nismilan Kito Ubah’ yang kini digunakan oleh PERIKATAN NASIONAL (PN) Negeri Sembilan direkabentuk hanya dalam lima minit, kata penciptanya Afiq Asnawi Kamarudin, 34.
Beliau yang juga merupakan seorang aktivis pemuda PAS Kawasan Rembau sepenuh masa berkata, idea untuk logo dan slogan itu datang secara spontan semasa beliau sedang menggunakan komputer sambil berbual santai bersama rakan-rakan.
“Kalau ikutkan saya tidak fokus sangat pada bidang rekabentuk poster. Tidak mahir sangat. Saya lebih pada fotografi. Masa saya buat tu saya berbual-bual dengan kawan-kawan jadi ilham itu datang saya buat dalam lima minit saja.
“Biasanya kalau saya buat design ambil masa satu dua jam juga. Tetapi masa itu memang idea itu lancar untuk buat design tu,” ujarnya.
Menurut Afiq, cetusan untuk mewujudkan logo dan slogan bagi PN Negeri Sembilan itu timbul apabila melihat PN di negeri-negeri lain sudah mempunyai logo dan slogan mereka dalam berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
Tambah beliau, tindakan beliau mencipta logo ini dibuat secara sukarela tanpa arahan rasmi daripada parti, namun logo yang diciptanya itu mula digunakan oleh aktivis-aktivis PN tempatan sehingga ia menjadi popular.
“Selepas logo itu popular akhirnya Penerangan Perikatan Nasional Negeri Sembilan akhirnya menggunakan logo tersebut secara rasmi,” ujarnya lagi.
Walau bagaimana pun, kata Afiq, beliau tidak menuntut sebarang bayaran atau royalti bagi penciptaan logonya ini sebagai satu sumbangan beliau untuk PN bagi PRN ini.
Menjelaskan maksud logo ini, beliau menerangkan bahawa ia mengambil unsur-unsur penting yang membentuk Negeri Sembilan yang unik ini
“Warna kuning ini adalah menggambarkan Negeri Sembilan sebagai negeri adat. Kemudian bumbung rumah Minang menggambarkan budaya dominan Negeri Sembilan. Dan juga peta negeri.
“Dan kita guna warna tu hitam, kuning dan merah warna yang ada pada bendera Negeri Sembilan,” ujar beliau.
Afiq yang sudah berumah tangga dan mempunyai tiga orang anak itu turut mengajak anak muda agar turun mengundi untuk menumbangkan PH-BN pada 12 Ogos ini.
Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily seusai program ‘Pelancaran Jentera Pilihan Raya PERIKATAN NASIONAL Parlimen Rembau yang berlangsung di Taman Senawang Perdana, di sini, malam tadi.
Dalam majlis tersebut Pengerusi PN Negeri Sembilan, Dato’ Seri Faizal Azumu telah memberi penghormatan kepada beliau sebagai pereka logo dengan menyarungkan beliau sehelai kemeja-T dengan logo tersebut.
Selain Faizal, turut berucap ialah Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin, Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Kamarol Ridzuan Mohd Zain, Pengerusi PN Rembau, Mohd Nazree Mohd Yunus, mantan Timbalan Ketua Bahagian Umno Putrajaya yang kini telah menyertai Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz dan mantan Ketua Pemuda Umno Seremban yang kini menyertai PAS, Zool Amali Hussin. – HARAKAHDAILY 17/7/2023
No comments:
Post a Comment