ZAMAN persekolahan pasti kita pernah mendengar riwayat kisah anak gembala kambing pembohong dan serigala.
Setiap pagi anak itu mengiring kambingnya berangkat ke padang rumput yang ada di pinggir hutan, dan setiap petang dia kembali mengiring kambing-kambing tersebut kembali ke kandangnya.
Sebelumnya si majikan pernah berpesan, jika suatu masa ada segerombolan serigala yang datang dan ingin memangsa kambing miliknya, anak itu di suruh berteriak meminta pertolongan pada orang-orang di kampung agar mereka boleh membantu mengusir gerombolan serigala tersebut.
Pada suatu hari, anak gembala tersebut merasa bosan hingga muncul niat jahatnya untuk memperbodohkan orang-orang kampung.
Lalu anak gembala itu ingat akan perkataan majikannya, kemudian dia berpura-pura lari ke pinggir kampung sambil menjerit “Serigala…!! Serigala…!! Tolong, ada serigala…!!”
Mendengar jeritan anak itu, para penduduk kampung langsung berlarian untuk membantunya, mereka membawa alat-alat yang boleh digunakan untuk menghalau dan mengusir serigala tersebut.
Tetapi ketika sampai di padang rumput, mereka tidak melihat ada serigala seekor pun. Mereka hanya melihat si anak gembala yang tertawa terbahak-bahak dan mentertawakan mereka “Hahaha…lucu sekali.
Anda semua telah tertipu…” kata si anak gembala.
Pembohongan ini dibuat sehingga kali ketiga dan sebanyak itulah orang kampung tetap tertipu.
Namun, akhirnya bila betul-betul segerombolan serigala datang dan mengejar kambingnya, maka dia pun menjerit pertolongan… “Tolong…ada serigala…!! ada serigala…!!” jeritnya.
Tetapi tidak ada seorang pun yang datang untuk membantunya.
Ini kerana dia sering berbohong, maka kini tidak ada lagi yang percaya kepadanya.
Akhirnya, semua kambing yang digembalakannya habis di mangsa oleh kawanan serigala.
Inilah cerita yang diungkapkan satu ketika dulu.
Peliknya yang mengambil pengajaran dari cerita ini adalah ahli politik!
Jangan terkejut, ahli politik bukan menjadi orang kampung tetapi ahli politik menjadi anak gembala, manakala rakyat yang menjadi orang kampung yang asyik ditipu.
Harapnya kali ini ‘orang kampung’ tidak tertipu lagi dengan laungan retorik dan seruan hoi hoi ya hoi!
ABU FAWWAZ – HARAKAHDAILY 14/7/2023
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.
No comments:
Post a Comment