Tindakan saman akan diambil terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas gagal membuat permohonan maaf secara terbuka ekoran fitnah dibuat berhubung isu penghapusan hutang peneroka FELDA.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ternyata Anwar membuat fitnah terhadapnya kononnya tidak menghapuskan hutang peneroka selepas dokumen yang didedahkan hari ini adalah berkenaan sukuk dan membuktikan penipuan yang dibuat oleh Presiden PKR itu.
“Tetapi dokumen yang dia kemukakan bukan berkenaan Pelupusan Hutang Peneroka FELDA. Dokumen itu berkenaan Sukuk.
“Saya pun pernah berkali-kali menjelaskan sebelum ini bahawa dokumen yang Anwar tandatangan itu adalah berkenaan Sukuk bukan pelupusan hutang peneroka FELDA. Pendedahan dokumen itu membuktikan saya bercakap benar. Yang berbohong dan fitnah saya ialah Anwar.
“Siaran Media Kementerian Kewangan pada hari ini juga mengesahkan ia berkenaan jaminan kerajaan sebanyak RM9.9 bilion dan bukan Pelupusan Hutang Peneroka FELDA sebanyak RM8.3 bilion yang telah pun saya selesaikan pada tahun 2021,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook malam ini.
Muhyiddin memberi respon balas terhadap dokumen yang didedahkan oleh Kementerian Kewangan hari ini adalah berkenaan Dokumen Akaun Rizab Perkhidmatan Kewangan (FSRA) berhubung Jaminan Kerajaan kepada FELDA dan ia juga tidak menyentuh secara spesifik berhubung penghapusan hutang peneroka seperti yang diwar-warkan oleh Anwar kepada orang ramai sebelum ini.
Anwar juga dibidas Muhyiddin sebagai tidak memahami kandungan dokumen ditandatanganinya dan ia amat merbahaya kepada negara dan membuktikan dirinya tidak layak untuk terus kekal menjadi Perdana Menteri.
“Dokumen sukuk yang didedahkan juga menunjukkan Anwar tidak memahami kandungan dokumen yang dia tandatangan sebagai Menteri Kewangan. Ini bahaya. Entah apa lagi dokumen atau perjanjian yang dia tandangan atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang dia tidak faham atau tidak tahu isi kandungannya.
“Jelas Anwar tidak layak (incompetent) untuk kekal sebagai Perdana Menteri. Lagi lama Malaysia ditadbir oleh kerajaan Madanon Anwar Ibrahim, lagi besar mudaratnya kepada rakyat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Muhyiddin juga meminta peguamnya untuk meneruskan saman terhadap Anwar kerana gagal meminta maaf dalam tempoh 24 jam.
“Oleh kerana Anwar gagal mengemukakan permohonan maaf tanpa syarat dan secara terbuka kepada saya dalam tempoh 24 jam sepertimana yang terkandung di dalam surat tuntutan peguam saya kepadanya, maka saya telah mengarahkan peguam saya untuk meneruskan tindakan saman fitnah ke atasnya,” ujarnya lagi.
-Agenda Daily
No comments:
Post a Comment