GEORGETOWN – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, UMNO Pulau Pinang akan bertanding di enam kerusi Dewan Undangan Negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang 12 Ogos depan.
Lapor Sinar Harian, kata Musa, calon-calon muda akan diketengahkan pada PRN kali ini bagi membawa pembaharuan dan berharap pengundi dapat memberi sokongan kepada UMNO serta gabungan parti-parti Kerajaan Perpaduan di Pulau Pinang.
Jelas Musa lagi, UMNO bertanding di Pulau Pinang akan pertahankan dua kerusi di DUN Permatang Berangan dan DUN Sungai Dua di Parlimen Tasek Gelugor seterusnya bertanding di DUN Penaga dan DUN Bertam di Parlimen Kepala Batas
“Setakat ini, enam kerusi sah UMNO bertanding di Pulau Pinang iaitu kita akan pertahankan dua kerusi di DUN Permatang Berangan dan DUN Sungai Dua di Parlimen Tasek Gelugor seterusnya bertanding di DUN Penaga dan DUN Bertam di Parlimen Kepala Batas.
“Selain itu, kami akan bertanding di DUN Sungai Acheh di Parlimen Nibong Tebal dan DUN Teluk Bahang di Balik Pulau iaitu satu-satunya kerusi untuk UMNO di bahagian pulau,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Menurutnya, ketika ini UMNO Pulau Pinang sedang mengumpul nama-nama calon yang akan bertanding pada PRN nanti sebelum beliau sendiri menyerahkan nama mereka kepada pucuk pimpinan parti untuk dipilih.
“Tiga nama calon terpilih bertanding bagi setiap DUN akan diserahkan kepada pucuk pimpinan dalam tempoh terdekat ini. Dari segi calon kali ini, kita akan mengemukakan muka baharu dan orang muda terutama dalam kalangan Pemuda UMNO,” katanya.
No comments:
Post a Comment