KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad perlu mendedahkan butiran pelabur yang didakwanya mahu melabur sehingga RM500 bilion di Langkawi.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata jika dakwaan bekas Ahli Parlimen Langkawi itu benar, ia bakal mencipta sejarah dan rekod baharu buat Malaysia.
"Anda tahu tak, dalam sejarah pelaburan, jumlah pelaburan diluluskan tertinggi ialah RM309 bilion setahun. Sejak Malaysia merdeka sampai sekarang, tak pernah ada pelaburan tinggi sampai RM500 bilion. Masa Dr Mahathir jadi Perdana Menteri pun, tak pernah ada pelaburan diluluskan setinggi itu.
"Kena ingat juga, RM309 bilion ini adalah jumlah keseluruhan pelaburan yang dihimpunkan dari pelbagai sumber, bukan dari satu pelabur saja dan pelaburan ini adalah untuk seluruh Malaysia dan bukan hanya di satu lokasi.
"Jika betul ada satu pelabur sanggup labur sampai RM500 bilion di Langkawi saja, ini bakal jadi rekod baharu di Malaysia," katanya dalam satu penjelasan menerusi video di Facebook beliau hari ini.
Sebagai menteri yang menjaga pelaburan, Tengku Zafrul berkata, andai benar dakwaan pelabur ini wujud, kerajaan akan mempermudahkan kemasukan pelaburan ini.
"Saya tak kisah siapa yang membawa masuk pelaburan itu sama ada Dr Mahathir, kerajaan atau pembangkang, sebab kalau pelaburan masuk, yang terima manfaat adalah rakyat.
"Jadi, saya nak minta jasa baik Dr Mahathir kongsi butiran pelabur ini. Sedangkan pelabur nak melabur juta-juta pun kita sambut dengan tangan terbuka, inikan pula nak labur RM500 bilion, memang kita bentang karpet merah dari lapangan terbang sampai ke hotel," katanya.
Dr Mahathir pada satu program bual bicara anjuran Proklamasi Orang Melayu di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) Sabtu lalu, mendakwa berjumpa dengan pelabur yang berhajat melabur RM500 bilion di pulau peranginan popular itu, namun tidak mendedahkan individu berkenaan.
"Ada orang yang nak melabur mereka jumpa saya, mereka kata nak melabur di Pulau Langkawi sebanyak RM500 bilion, tetapi katanya tak ada menteri yang sudi jumpa dengan dia.
"Selain itu, ada juga seorang lagi datang jumpa saya cakap nak melabur, tetapi tak ada layanan (juga). Jadi sebenarnya bukan orang tak nak (datang melabur). Orang nak tetapi kerana tak ada layanan, mereka pergi ke Indonesia, Vietnam dan Filipina," dakwa Dr Mahathir seperti dipetik dalam laporan media.
-BH Online
No comments:
Post a Comment