Jitra: Ahli akademik atau usahawan, siapa akan jadi pilihan lebih 63,000 pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra pada 12 Ogos nanti.
Apa yang pasti, pertembungan di antara bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Haim Hilman Abdullah, 50, mewakili Perikatan Nasional (PN) dan Datin Sabrina Ahmad, 45, yang menjadi pertaruhan Pakatan Harapan (PH), pasti menarik tumpuan.
Bagi Haim Hilman, kempennya yang banyak menggunakan platform media sosial, terutama TikTok dan Facebook mampu memberi mesej kepada golongan sasaran, terutama pengundi muda, namun Sabrina pula melihat apa dipaparkan di media sosial tidak semestinya melambangkan realiti.
Kata bekas Naib Canselor UUM itu yang cukup dikenali dengan amanat motivasi kepada pelajar menerusi aplikasi media sosial, beliau mahu mempelbagaikan kaedah berkempen, tidak terhad pertemuan secara bersemuka semata-mata, sebaliknya turut membawa kempen ke platform digital.
"Dalam aspek media sosial, kita tahu ada ribuan pengundi di luar bandar atau daerah Jitra. Jitra bandar ilmu yang mempunyai pelbagai kelompok, daripada B40 hingga T20 yang tinggal di bandar dan juga kampung. Dalam konteks masyarakat di sini, kita sedaya upaya bertemu semua.
"Kita juga ada anak kepada pengundi di sini yang bekerja atau bertugas di Kuala Lumpur atau Johor Bahru dan segala pelosok negeri dan negara. Jadi kempen menerusi media sosial membolehkan mesej itu sampai kepada mereka di luar sana.
"Malah, platform digital juga membuatkan apa yang kita tampilkan sampai kepada golongan sasaran kita," katanya yang turut tidak melupakan pendekatan bersemuka dengan pengundi menerusi sesi walkabout.
Walaupun berdepan naratif beliau bukan anak tempatan, sebaliknya hanya calon 'payung terjun', Haim Hilman menjelaskan, beliau sudah 23 tahun berada di Kedah menggalas tanggungjawab di UUM, berbanding negeri kelahirannya Selangor.
Populariti tak jamin kejayaan
Bagi Sabrina pula, sama ada lawannya calon luar atau anak tempatan, beliau terus gigih berkempen bagi memastikan DUN Jitra 'sealiran' dengan kerajaan Pusat.
Selain itu, kata Ketua Wanita PH merangkap Ketua Wanita PKR Kedah ini, populariti ditampilkan dalam media sosial tidak mampu menjamin calon berjaya meraih undi masyarakat.
"Adakalanya apa yang dipertontonkan dalam media sosial tidak semestinya 'real' atau benar, sebaliknya masyarakat harus menilai sendiri dengan tenang dan matang," kata ahli perniagaan ini.
Beliau mengakui media sosial mampu menarik orang ramai terpengaruh dengan apa yang disampaikan, namun populariti yang dikecapi tidak semestinya melambangkan realiti kerana permasalahan rakyat yang sebenar berlaku luar sana.
"Berdasarkan apa yang saya perhati dan terima rungutan daripada masyarakat di sini, selama PN menerajui Parlimen Kubang Pasu, mereka tak pernah dapat jumpa Ahli Parlimennya. Mereka kecewa memenangkan PN, tetapi tidak dapat berjumpa wakil rakyat yang dipilih," katanya.
Sabrina menekankan penggunaan media sosial dalam kempen perlu seiring dengan sesi bertemu rakyat yang dilihat lebih efektif dengan membangkitkan isu-isu setempat, berbanding politik sentimen.
"Apabila ke lapangan, saya dengar keluh kesah rakyat di Jitra ini yang mahukan perubahan, tidak lagi mahu bersama kerajaan negeri sedia ada. Sudah tiba masanya masyarakat di DUN Jitra buat pilihan tepat agar kesilapan semasa PRU (Pilihan Raya Umum) lalu dapat ditebus.
"Beri peluang PH pula jaga Jitra," katanya.
Pada PRU14 2018, kerusi DUN Jitra dimenangi PH dengan majoriti 10,849 undi melalui bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga Presiden BERSATU ketika parti berkenaan masih bersama gabungan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.
-BH Online
No comments:
Post a Comment