Dua laporan polis dibuat Pemuda Perikatan Nasional (PN) terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung ucapannya berunsur rasuah baru-baru ini.
Timbalan Ketua Pemuda PN, Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal membuat laporan polis terhadap Anwar dan anak muridnya ekoran ucapan di Terengganu selepas membuat tawaran kewangan semasa musim Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Hari ini, kami dari Pemuda Perikatan Nasional (PN) telah membuat dua laporan polis terhadap YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkenaan ‘tawaran kewangan’ kepada Majlis Belia Terengganu dan pasukan bermotosikal Terengganu baru-baru ini.
“Ternyata bahawa pengumuman kewangan tersebut sebenarnya merupakan satu ‘sogokan’ secara nyata apabila Zahid Hamidi dengan jelasnya dalam kenyataan menyeru para belia mengikut ‘Gelombang Biru dan Merah’ di Terengganu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.
Wan Ahmad Fayhsal juga mendakwa Anwar menyalahguna kuasanya sebagai Perdana Menteri apabila menggunakan agensi kerajaan untuk menekan pihak lawan dengan beberapa siri siasatan yang dilihat bermotif politik.
“Begitu juga dengan tindakan Anwar yang menyalahguna kuasa eksekutif dengan mengerah agensi penguatkuasaan membuat siasatan bermotifkan politik yang sudah pasti dikhususkan kepada pemimpin PN.
“Oleh itu, saya menggesa agar pihak polis menyiasat individu-individu ini bagi memastikan undang-undang negara tidak disalahguna oleh pemimpin kerajaan,” katanya lagi.
Sebelum ini, Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memberi sogokan dalam satu majlis pada Jumaat dengan mengumumkan peruntukan geran tambahan sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), RM250,000 untuk Majlis Belia Negeri Terengganu dan RM200,000 untuk pasukan bermotosikal di negeri berkenaan.
Bahkan, beliau turut berkata peruntukan itu akan ditambah oleh Anwar jika parti kerajaan menang di negeri tersebut.
Kenyataan itu kemudiannya mengundang kritikan dari pelbagai pihak termasuk pemimpin PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan pengumuman itu jelas merupakan satu bentuk rasuah menjelang PRN pada 12 Ogos ini.
Bagaimanapun, Anwar mempertahankan pengumuman tersebut mengatakan ianya tiada kaitan dengan PRN di enam negeri.
Semalam, Anwar, yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata pengumuman itu dibuat sebelum hari penamaan calon yang berlangsung pada Sabtu, 29 Julai.
-Agenda Daily
No comments:
Post a Comment