Pepatah Melayu ada menyebut 'cakap siang, pandang-pandang; cakap malam, dengar-dengar'. Selain itu, ada juga peribahasa berbunyi 'terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya'.
Kedua-dua peribahasa ini membawa maksud dan konotasi hampir sama iaitu peringatan kepada manusia supaya berhati-hati sebelum bercakap atau mengeluarkan kenyataan supaya tidak menimbulkan kontroversi atau konflik.
Dalam soal ini, orang politik lazimnya dikaitkan sebagai manusia paling banyak berkata-kata terutama mengeluarkan kenyataan namun ada masanya, perkataan yang keluar daripada mulutnya tidak menggambarkan kebijaksanaan seperti sepatutnya.
Hal ini banyak terjadi kepada orang politik sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang, termasuk dalam kalangan menteri dan ketua menteri atau menteri besar, walaupun tidak semua pemimpin bersikap begitu.
Namun, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihati supaya seorang pemimpin memahami Perlembagaan dan undang-undang sebelum menyatakan pandangan atau pendirian ketika mengulas sesuatu isu, ia menjadi petunjuk ada orang politik apatah lagi bertaraf menteri 'tidak berfikir dahulu sebelum mengeluarkan kata-kata'.
Sikap pemimpin dan orang politik terutama bertaraf menteri tidak berhati-hati mengeluarkan kenyataan serta pandangan terutama menyentuh isu Perlembagaan atau perundangan perlu dihentikan kerana acap kali ia bukan sekadar menimbulkan pertikaian, bahkan menggambarkan taraf pemikiran dan kewibawaan pemimpin terbabit.
Setiap pemimpin tidak boleh 'sedap cakap' sahaja tanpa memikirkan implikasi dan rantaian tindak balas terhadap apa yang diucapkan sama ada dari sudut perundangan, kestabilan politik serta keharmonian masyarakat antara negeri serta Persekutuan.
Sebagai contoh, sikap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor secara berterusan mempersoalkan Pulau Pinang adalah milik Kedah tidak membantu mewujudkan kestabilan politik antara kedua-dua negeri.
Sebelum ini, ada pemimpin politik turut lantang menuntut pemisahan antara Sabah dan Sarawak atau kuasa autonomi dalam Persekutuan Malaysia, yang mana gesaan ini tidak membantu mengekalkan kestabilan politik, bahkan boleh menggugat keselamatan negara.
Ucapan dan kenyataan berbaur ancaman, hasutan dan ugutan serta penuh dengan sandiwara politik seperti ini perlu dihentikan. Dalam hal ini, orang sekeliling menteri seperti setiausaha politik, pegawai khas dan penasihat media patut lebih berperanan membantu 'meluruskan' pemikiran pemimpin mereka.
Pegawai kanan dan orang sekeliling menteri atau pemimpin politik patut menjadi 'gate keeper' berkesan untuk menonjolkan imej serta citra positif, bijaksana dan berwibawa sebagai pemimpin pada mata rakyat serta negara luar.
Lebih penting lagi, setiap pemimpin sama ada di Pusat atau negeri perlu berganding bahu bagi menstabilkan kembali politik negara, memacu kembali pemulihan ekonomi pasca pandemik dan mewujudkan suasana harmoni, bukan terus bersandiwara politik.
-BH Online
No comments:
Post a Comment