WANITA yang mengalami masalah ketidakseimbangan hormon akan menyebabkan kitaran haid tidak menentu, emosi tidak stabil, keguguran rambut, kulit berkedut dan kering, muka menjadi kusam serta mudah rasa penat.
Menurut Pengamal Perubatan Am, Dr. Zubaidi Ahmad, pengambilan pil hormon tidak membantu kerana ia hanyalah bersifat sementara. Apabila berhenti pengambilan pil tersebut, masalah hormon akan berulang semula.
“Oleh itu, yang terbaik adalah kita membantu tubuh kita mencapai keseimbangan hormon ini dari dalam badan.
“Selalunya, apabila kita bercakap tentang ketidakseimbangan hormon, ia berkaitan dengan tahap hormon estrogen yang terlalu tinggi,” kongsi beliau di laman Facebook miliknya.
Jelas Zubaidi, estrogen adalah hormon yang bertanggungjawab terhadap ciri-ciri kewanitaan seperti keanjalan kulit, menstabilkan emosi, menjaga kesihatan rambut, kitaran haid yang tetap dan kekuatan wanita.
Hormon tersebut juga penting untuk mencegah penyakit seperti kerapuhan tulang, sakit jantung dan dementia.
Sehubungan itu, Zubaidi kongsikan lapan tip penting untuk mengimbangi semula hormon dalam badan wanita seperti berikut:
- Kurangkan pendedahan bahan kimia
Kurangkan pendedahan terhadap bahan kimia sintetik seperti pencuci lantai, kosmetik (seperti gincu, losen siang/malam dan serum muka). Begitu juga produk penjagaan peribadi yang lain seperti sabun mandi dan deodoran.
Anda juga perlu kurangkan pendedahan kepada baja kimia dan racun serangga. Pastikan kita memakai sarung tangan.
- Turunkan berat badan
Kurangkan lemak berlebihan dalam badan dengan menurunkan berat badan. Tisu-tisu lemak pada tubuh juga penting tetapi jangan berlebihan kerana ia boleh mengundang pelbagai masalah kesihatan.
- Sumber protein dan lemak sihat
Tambah dan pelbagaikan sumber protein serta lemak sihat dalam hidangan. Tanpa protein yang mencukupi kita mungkin akan berasa cepat lapar dan ini akan menyebabkan kita kerap makan dan bertambah berat badan.
Protein yang sihat seperti ikan, telur dan ayam juga penting untuk kesihatan rambut, pembinaan otot dan merawat tisu yang rosak. Lemak sihat adalah seperti minyak zaitun dan minyak kelapa dara.
- Sayur-sayuran dan buah-buahan
Sayur-sayuran dan buah buahan atau makanan yang disebut sebagai quranic food seperti minyak zaitun, buah tin, buah delima, anggur, pisang dan kurma dapat Membantu proses perkumahan toksin. Ia mengandungi cukup mineral, vitamin dan antioksidan.
- Gula putih atau gula tambahan
Elakkan pengambilan gula putih atau sebarang gula tambahan dalam minuman dan makanan.
- Sumber vitamin E, C dan D
Tambahkan sumber vitamin E, C dan D dalam makanan. Vitamin D dapat ditingkatkan dengan pendedahan selama 10 hingga 15 minit setiap hari pada sinaran matahari yang tidak terik.
Dalam banyak kajian, mereka yang kekurangan vitamin-vitamin ini walaupun cukup makan, akan mudah mengalami obesiti, sindrom metabolik dan sesetengahnya menghidap kanser.
Pengambilan suplemen vitamin yang bersesuaian mungkin dapat membantu menambahkan sumber vitamin untuk tubuh kita.
- Mineral penting
Pastikan makanan kita mengandungi mineral yang penting seperti magnesium, zink dan selenium yang mencukupi. Ia penting untuk keseimbangan hormon dan merangsangkan metabolisme tubuh.
- Tidur yang cukup
Dapatkan tidur yang mencukupi, kawal stres, lakukan senaman ringan dan minum air kosong secukupnya. – RELEVAN
No comments:
Post a Comment