JOHOR BAHRU: Perhimpunan Agung UMNO (PAU) minggu depan menjadi platform terbaik meletakkan noktah terhadap perselisihan faham dalam kalangan ahli-ahli parti terbesar Melayu itu berkaitan isu sokongan terhadap kerajaan perpaduan.
Setiausaha UMNO Negeri Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, pucuk pimpinan tertinggi UMNO perlu menggunakan pentas PAU untuk menjelaskan kepada para perwakilan yang hadir bagi membuka mata hati mereka, sekali gus dapat memadamkan keraguan ahlinya untuk menerima keputusan parti itu menyertai kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Adalah sebaiknya juga jika satu ketetapan dapat diputuskan dengan suara majoriti perwakilan untuk membawa usul dan menyokong penyertaan UMNO dalam kerajaan perpaduan. Hanya dengan cara ini dapat menutup mulut golongan pengacau dalam UMNO yang tak habis-habis memperlekehkan keputusan parti bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan parti-parti lain dalam kerajaan perpaduan.
“Nasihat saya, yang sudah-sudah tu biarlah berlalu dan kita kena reda dengan segala keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan UMNO. Sekarang ini adalah masanya untuk menghentikan segala perselisihan dalaman dan kita kena tumpukan terhadap usaha untuk memperkasakan kembali UMNO,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tebrau berkata, sekiranya ahli dan pemimpin UMNO berlarutan bercakaran sesama sendiri, tindakan itu tidak akan dapat mengembalikan kekuatan parti terutamanya dalam kalangan anak muda yang sedang memerhati gelagat UMNO.
“Jika berterusan begini, tak mustahil mereka akan makin jauh meninggalkan UMNO dan tak berminat lagi untuk mendekati parti keramat ini. Fikir-fikirkanlah,” katanya.
Jelasnya, tindakan UMNO menyertai kerajaan perpaduan merupakan strategi terbaik bagi membina semula kekuatan dan memenangi enam pilihan raya negeri (PRN), seterusnya pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Katanya, gabungan itu menjadikan UMNO bertambah kuat dalam situasi politik semasa kerana tidak mampu lagi untuk menang PRN atau PRU secara bersendirian, apatah lagi MCA dan MIC yang menjadi komponen BN sudah hampir ‘lumpuh’.
“UMNO perlu bekerjasama dengan parti dalam PH baik PKR, DAP dan Amanah untuk saling membantu dalam meraih undi penyokong masing-masing. Semua itu dilakukan atas semangat perpaduan yang terbentuk hasil daripada persetujuan bersama membina kerajaan lebih enam bulan lalu dan tak timbul isu UMNO bergantung harap kepada DAP, PKR atau Amanah semata-mata.
“Sebenarnya semua parti yang menubuhkan kerajaan perpaduan memang saling mengharapkan satu sama lain jika mahu menang pada pertempuran enam PRN nanti. Kemenangan besar itu nanti boleh dijadikan senjata ampuh UMNO dan kerajaan perpaduan untuk menang PRU16,” katanya. – UTUSAN
No comments:
Post a Comment