Gambar hiasan 1920an – kaum muda – foto lestarihikmah.com
Al-Imam telah menyeru orang Melayu supaya menoleh ke negeri Jepun. Rakyat Jepun menerima perubahan atau menjalankan islah dalam bidang politik, ekonomi dan juga pertahanan, tetapi masih tetap dengan agama mereka. Walau agama apa pun yang mungkin dianuti oleh bangsa Jepun itu, namun ia tetap akan maju seperti itu juga.
Kesimpulannya, agama tidak menjadi masalah untuk mengejar sebarang kemajuan. Apa yang menjadi masalah sebenarnya ialah orang Melayu telah teragak-agak serta was-was untuk menerima pelajaran yang diberikan kepada mereka dengan sepenuhnya.
Orang Melayu menganggap tamadun Barat sebagai musuh kepada Islam. Menurut Al-Imam, anggapan ini adalah salah dan sempit; walhal Jepun menganggap dan mengambil peradaban Barat sebagai alat untuk memajukan bangsa dan negaranya.
Sebaliknya, orang Melayu enggan bertembung dengan tamadun Barat; Jepun mencari butir-butir tamadun Barat untuk diselidiki; mana-mana yang baik diambil untuk faedah bangsanya dan mana-mana yang tidak sesuai ditinggalkan.
Tetapi orang Melayu tidak dapat berbuat demikian sebab mereka jahil akan pelajaran terutama para pembesar Melayu.
Al-Imam menjelaskan bahawa negeri Jepun memerlukan negara-negara luar:
- Kerana pasaran barang-barangnya
- Untuk memberi Latihan kepada penuntut dan bakal pendidik dan guru
- Untuk bersekutu demi kepentingan pertahanan, dan
- Untuk meluaskan pemerintahan dan kuasanya
Al-Imam seterusnya mengambil contoh lain di Afrika. Katanya, walaupun Raja Habshah telah menukar agama asalnya kepada agama Kristian, namun negerinya masih tetap mundur dan jauh daripada kebanyakan orang Eropah pada kebanyakkan perkaranya.14
Sebenarnya faktor utama kemunduran orang Melayu ialah kejahilan dalam memahami kehendak-kehendak Agama Islam yang sebenarnya, dan juga sikap orang Melayu sendiri yang suka sentiasa bergantung kepada usaha-usaha bangsa lain dalam kebanyakan hal terutamanya ekonomi.15
Ini semua merupakan penyakit bangsa Melayu yang telah menyebabkan mereka tidak Bersatu, hasad dengki, khianat dan tamak. Dengan ini wajiblah golongan bijak pandai dan mereka yang terdidik dan faham supaya: “Seru akan segala raja-raja kita dan orang besar-besar kita dan orang-orang kaya kita pada memegang dan menjalankan kewajipannya masing-masing di dalam perhimpunan kaumnya.”16
Para pembaca pula telah digesa supaya jangan berdiam diri saja menghadapi masalah dan persoalan ini. Orang ramai sepatutnya bekerjasama
Memberikan pendapat dan cadangan tentang bagaimana masalah yang sedang dihadapi oleh bangsa Melayu dapat diatasi.
Orang Melayu juga diseru supaya berusaha dengan bersungguh-sungguh terutama dalam “membesarkan jalan perniagaan dan pertukangan,”17 serta dalam lapangan pertanian untuk faedah dan kemajuan bangsa. Jelaslah bahawa soal ekonomi dipandang berat oleh Al-Imam.
13 Ibid
14 Ibid hlm. 28
15 Al-Imam, 17 September 1906, hlm. 75
16 Ibid. hlm. 76
17 Ibid. hlm. 77
* Penulis ialah kelulusan Jabatan Sejarah, Universiti Malaya tahun 1970
-malayadaily.com
No comments:
Post a Comment