Foto Panji Masyarakat
Menjelang awal abad ke-20, keadaan hidup orang Melayu terutama di desa adalah buruk sekali. Mereka masih mundur dalam serba-serbi; bidang ekonomi, sosial dan pelajaran. Mereka telah jauh ditinggalkan oleh orang bukan Melayu dan jurang perbezaan ini semakin lama telah menjadi semakin besar.
Tambahan pula pertumbuhan bandar-bandar di sana sini amat pesat terutama di kawasan atau tempat yang berhampiran dengan perusahaan bijih timah dan getah.
Ini diikuti dengan pembangunan dalam bidang pengangkutan terutama pembinaan jalan raya dan jalan keretapi yang juga sebahagian bersarnya ditumpukan di kawasan-kawasan perusahaan tersebut.
Keadaan hidup di bandar semakin baik kerana kemudahan-kemudahan sosial lebih diutamakan. Sebaliknya pula, kawasan-kawasan desa yang ramai didiami oleh orang Melayu telah tidak diberi perhatian berat oleh pihak kerajaan British.
Salah satu faktor penting mengapa keadaan begini berlaku ialah kerana orang Melayu tidak mendapat bimbingan dan kepimpinan yang seharusnya, iaitu daripada golongan pemerintah Melayu sendiri. Golongan ini nampaknya sama-sama tidak sedar ataupun sengaja tidak mahu sedar akan keadaan yang wujud.
Kerana kelemahan-kelemahan itu beberapa orang tampil ke hadapan sebagai pemimpin yang ingin memperjuangkan nasib orang Melayu. Empat daripada mereka yang lebih terkemuka ialah Syeikh Mohd. Tahir bin Jalaluddin Al-Azhari, Sayid Syeikh bin Ahmad Al-Hadim, Haji Abbas bin Mohd. Taha dan Syeikh Mohd. Salim Al-Kalali.
Hasil daripada kesedaran dalam hidup mereka di kota, terutama Singapura serta akibat pengaruh Timur Tengah, mereka dengan penuh azam bertekad ingin menjalankan islah dalam masyarakat Melayu.
Bagaimanakah mereka dapat menyedarkan masyarakat Melayu seluruhnya? Bagaimanakah mereka dapat menyebarkan idea dan fahaman ataupun ajaran yang dikehendaki itu dikalangan orang ramai?
Akhir sekali bagaimanakah caranya untuk menyuarakan tuntutan dan kritikan serta rintihan orang Melayu kepada pihak pemerintah?
Mereka mendapati bahawa masyarakat Melayu sebenarnya amat memerlukan satu alat sebaran am iaitu “bagi menyampaikan seru itu kepada sagala saudara kita”.1
Maka setelah dibincangkan dan diambil pertimbangan dengan Panjang lebar dalam mesyuarat-mesyuarat, satu keputusan telah diambil untuk meneribtkan majalah Al-Imam. Maka lahirnya majalah itu adalah dengan tujuan untuk memberi bimbingan dan petunjuk kepada masyarakat Melayu.
Pada pendukung Al-Imam ini kebanyakkanya bukan berdarah Melayu tempatan, kecuali Haji Abbas. Mereka itu berketurunan darah Arab. Hal ini mungkin boleh meragukan setengah-setengah kalangan sebab dari situ akan timbul beberapa persoalan. Kerana mereka itu bukan orang Melayu tempatan, jadi bolehkah mereka dianggap sebagai pemimpin Melayu?
Kebanyakan daripada mereka yang berketurunan Arab ketika itu memainkan peranan besar dalam bidang perdagangan dan perniagaan di Singapura, Pulau Pinang dan juga di bandar-bandar di Sumatera, menjelang abad ke-20, golongan saudagar Arab ini telah mula merasai persaingan daripada saudagar bangsa-bangsa lain terutamanya Cina dan British.
Menurut penganjur-penganjur Al-Imam sendiri, mereka memang cintakan negeri ini dan menganggap Tanah Melayu sebagai negeri mereka sendiri. Mereka telah menyesuaikan diri dengan masyarakat Melayu dan telah hidup bercampur gaul dengan orang Melayu, malah ramai berkahwin dengan orang Melayu.
Oleh itu mereka menganggap diri sendiri sebagai anggota masyarakat Melayu; kata Syeikh Mohd. Salim : “Sudah minum kami akan air susunya dan telah tumbuh daripadanya daging darah kami dan telah terbit daripadanya nikmat perhatian kesenangan kami. Tidakkah jadi terhutang kami kepada negerinya dan anak-anaknya?2.
Dengan sebab itu Al-Imam berasa berkewajipan dalam menyedarkan orang Melayu dan memberi tunjuk ajar serta bimbingan kepada mereka.
Ia berasa bertanggungjawab untuk mencegah orang Melayu terutama golongan pembesar daripada khayalan dan kelalaian yang telah menyebabkan kemunduran dan kehinaan bangsanya dan tanah airnya.3 Sebab itulah akhbar yang diterbitkan dinamakan Al-Imam (Pemimpin). – Bersambung
1 Al-Imam, 23 Julai 1906, hlm. 5
2 Ibid, hlm. 7
3 Ibid, hlm. 8
Penulis ialah kelulusan Jabatan Sejarah, Universiti Malaya tahun 1970
-malayadaily.com
No comments:
Post a Comment