Ipoh: Harimau belang yang dikatakan berkeliaran di sekitar Kampung Orang Asli Tonggang sehingga ke Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta di sini, sejak minggu lalu, berjaya ditangkap awal pagi hari ini.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, harimau jantan terbabit ditangkap selepas ditembak dengan peluru pelali ketika ia menghampiri perangkap.
Menurutnya, tembakan pelali itu dibuat berikutan aduan kehadiran harimau belang yang dianggarkan berusia empat tahun dengan berat 90 kilogram (kg) itu di Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Tanjung Damai.
"Ya, malam tadi kita berjaya tangkap dengan tembak pelali, walaupun kemungkinan kejayaan ditangkap ketika itu hanya kira-kira dua hingga lima peratus sahaja.... Alhamdulillah.
"Ketibaan lapan kakitangan Perhilitan ke lokasi mendapati aduan itu benar. Mereka sudah cuba menghalau harimau berkenaan, namun gagal, justeru keputusan diambil untuk menembak pelali.
"Harimau itu kemudiannya ditangkap jam 4.30 pagi ini. Kita percaya harimau ini adalah haiwan sama dalam video yang tular beberapa hari lalu dan yang diadukan oleh penduduk sebelum ini," katanya ketika dihubungi, pagi ini.
Difahamkan, seekor kambing digunakan sebagai umpan bagi mengundang kehadiran pak belang berkenaan ke arah perangkap yang dipasang, sebelum disusuli tembakan menggunakan pelali.
Menurut Yusoff lagi, harimau berkenaan kemudiannya dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Sungkai untuk tindakan selanjutnya termasuk bagi pemeriksaan kesihatan.
Beliau dalam pada itu menafikan bahawa terdapat lima harimau dikesan berkeliaran di kawasan itu sebagaimana dakwaan beberapa pihak media sosial
"Setakat penelitian kami ada seekor sahaja (harimau belang) yang berkeliaran di sebelah Ulu Kinta khususnya di kawasan itu yang meliputi kawasan kem PGA, Kampung Orang Asli Tonggang, Rancangan Perkampunhan Tersusun (RPT) Tanjung Damai, dan loji air di situ," katanya.
-myMetro
No comments:
Post a Comment