Rantau Panjang: Lima beranak terpaksa berhimpit untuk tidur di dalam kereta selepas kediaman mereka di Kampung Gual Periok, di sini, dilanda banjir, sejak malam tadi.
Roslan Deraman, 43, berkata, dia dan isteri, Suhaida Mustafa, 39, mengambil keputusan bermalam di dalam kereta selepas kediaman dimasuki air separas 0.7 meter, manakala tingkat atas rumah dipenuhi barangan yang diangkat ke situ, bagi mengelak ia ditenggelami banjir.
Katanya, dia tidak menyangka air boleh naik setinggi itu dan secara mendadak menyebabkan mereka tidak sempat pergi di pusat pemindahan sementara (PPS).
"Saya dan isteri hanya 'tidur-tidur ayam' sambil memantau keadaan tiga anak berusia tiga hingga 15 tahun dan dalam masa sama, dalam kebimbangan jika kawasan parkir kereta ini juga dinaiki air.
"Kami hanya membawa beberapa helai baju, makanan dan minuman sahaja untuk dibawa ke dalam kereta. Nasib baik, minyak kereta sudah diisi penuh awal pagi semalam ketika paras air masih lagi cetek.
"Saya berharap air segera surut kerana bimbang juga akan anak bongsu yang tidak begitu sihat," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Roslan berkata, dia sudah membeli barangan keperluan dan makanan daripada awal-awal lagi kerana hampir setiap tahun, penduduk di penempatannya itu terperangkap akibat jalan utamanya yang digenangi banjir.
"Sebenarnya, sebelum dilaksanakan pembinaan tebatan, projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok, rumah kami tidak pernah dilanda banjir, namun selepas projek ini dijalankan, kami turut menjadi mangsa.
"Semoga pihak berkaitan sedar dengan apa yang terjadi kerana kami penduduk di sekitar Rantau Panjang, sudah tidak tahan lagi menanggung kerosakan harta benda serta tekanan akibat bah besar ini," katanya.
Menurutnya, dia mengalami kerugian hampir RM10,000 pada banjir tahun lalu kerana kerosakan perabot, barangan elektrik, motosikal serta pintu rumah, akibat ia digenangi air dalam tempoh lama.
-myMetro
No comments:
Post a Comment