Majalah Al-Imam – foto Jantung Melayu
Al-Imam telah menyatakan kesedarannya tentang betapa sedihnya bangsa Melayu sebab negerinya telah dijajah dan diperintah oleh bangsa asing dari eropah.
Pulau-pulau Indonesia telah pun jatuh di bawah cengkaman Belanda, sementara Tanah Melayu berada di dalam tangan British. Keadaan yang wujud ini merupakan “barang yang mencucurkan air mata dan meleburkan hati…”18
Walau bagaimanapaun pentadbiran British telah juga diberi penghargaan sebab adanya Pembangunan baru di negeri ini (seperti pembinaan jalan dan system perhubungan) dan adanya kawalan keamanan, walaupun pada hakikatnya pembangunan tersebut tidak dikecap oleh sebilangan besar orang Melayu.
Menyentuh soal kebebasan politik, Al-Imam tidak menyetujui kiraya ditawarakan kemerdekaan kepada negeri ini kerana, menurutnya, jika negeri ini dikembalikan semula pada pemerintah Melayu nescaya pemerintahannya akan berbalik menjadi kucar-kacir semula seperti sebelum kedatangan British dahulu.
Al-Imam tidak mempercayai bahawa golongan pemerintah tradisi Melayu berkebolehan mentadbirkan dengan cara yang betul serta teratur.
Walaupun penghargaan diberikan kepada pentadbiran British “tetapi tiada kita memadakan daripada mereka itu dengan barang yang telah ada.”19
Pembaruan-pembaruan dan Pembangunan-pembangunan yang ada belum cukup untuk negeri ini “istimewa pada perkara pelajaran.”20
Di Pulau Pinang, Singapura dan Sumatera tidak ada anak-anak Melayu yang pandai dengan pelajaran yang cukup. Mana-mana yang ada Pendidikan dan bekerja dengan Kerajaan, dari segi pendapatan pula, tiada “yang boleh menyampai sekurang-kurangnya pendapatan anak-anak bangsa eropah.”21
Melihat keadaan ini, Al-Imam bertanya mengapakah British tidak mengadakan peluang untuk memberi pelajaran yang cukup dan sepatutnya kepada anak negeri ini?
British telah tidak memberikan orang Melayu latihan dan pelajaran dalam soal-soal siasah kecuali institusi pelajaran yang ada di Kuala Kangsar (MCKK) dan British telah melarang orangnya daripada memberi kira “pengetahuan yang lebih daripada kadar boleh kita menghormatkan pantun dan ahli-ahlinya.”22
Al-Imam menuduh raja-raja dan orang besar Melayu “tidak mahu memikirkan dan menilik dan menyediakan bagi masa yang akan dating dan mengadakan pelajaran bagi anak-anak watan mereka itu,”23 padahal rami berkemampuan dan tidak kekurangan wang atau harta untuk memberika pelajaran kepada anak-anak mereka.
Masalah ini seolah-olah sengaja tidak diambil berat. Hal ini berlaku adalah disebabkan ceteknya pengetahuan dan Pelajaran yang ada pada mereka (orang kaya dan bangsawan) yang hidup lali kerana diselubungi kesenangan dan kemewahan.
Rakyat jelata di desa-desa pula amat teragak-agak untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Mereka berasa kecewa akan dasar British terhadap kelulusan sekolah Melayu yang telah tidak diberi nilai ekonomi sebagaimana yang mereka harap-harapkan.
Kelulusan sekolah-sekolah Melayu tidak mendapat tempat dalam jawatan-jawatan kerajaan dan akibatnya ramai anak-anak muda lepasa sekolah Melayu telah menganggur. Juga bila disebut sekolah Inggeris saja dikalangan orang Melayu mereka lantas teringat akan agama Kristian.
Pada anggapan mereka jika anak-anak mereka dihantar ke sekolah Inggeris, anak-anak itu akan diwarnakan dengan ajaran agama Kristian dan akibatnya nanti anak-anak itu akan melupakan ajaran Islam.
Sikap yang sangat konservatif ini amat tebal dikepala orang Melayu desa. Memang menjadi masalah besar hendak menyuruh atau menggalakkan ibu bapa supaya mengahntar anak-anak mereka ke sekolah terutama sekolah Inggeris.
Oleh itu menurut Al-Imam “..yang boleh memaksa mereka itu tiada ada yang lain malinkan raja atau Kerajaan atau ketuanya yang ditakutkannya.”24 Al-Imam telah menyeru orang ramai supaya memberikan pendapat mereka sebagai jalan hendak memperbaiki Pelajaran dan pengetahuan anak-anak Melayu.
18 Ibid. hlm 80
19 Ibid hlm. 81
20 Ibid
21 Ibid
22 Ibid hlm. 82
23 Ibid
* Penulis ialah kelulusan Jabatan Sejarah, Universiti Malaya tahun 1970
-malayadaily.com
No comments:
Post a Comment