GAZA: Israel melancarkan lebih banyak serangan maut ke atas Gaza, hari ini ketika undian Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengenai satu lagi gesaan gencatan senjata.
Hakikat itu mencetuskan kecaman global yang melihat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan negara Arab tidak berupaya membawa sebarang perubahan bermakna dalam kehidupan penduduk Palestin.
Setakat ini, hanya pejuang Islam lain, baik di Palestin atau negara Arab lain yang menyertai perjuangan Hamas menentang regim Zionis, antaranya pemberontak Huthi Yaman yang disokong Iran.
mereka sejak beberapa minggu kebelakangan ini melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas kapal kargo di Laut Merah, menyebabkan Amerika Syarikat (AS) menyelaras gabungan tentera laut antarabangsa untuk melindungi kapal terbabit.
Lebih 100 serangan peluru berpandu dan dron, yang setakat ini tidak meragut nyawa, menyebabkan beberapa firma perkapalan besar menghentikan pelayaran melalui Terusan Suez, yang juga merangkumi kira-kira 10 peratus perdagangan dunia.
Semalam, Ketua Pentagon, Lloyd Austin, berikrar sokongan AS 'tetap teguh' untuk Israel, dan menyertai persidangan dalam talian mengenai pakatan merangkumi kapal perang dari Britain, Perancis, Itali, Sepanyol dan negara lain.
Israel mengekalkan pengeboman dan pertempuran darat hari ini, memasuki bulan ketiga perang paling berdarah di Gaza, yang bermula apabila Hamas melancarkan serangan pada 7 Oktober lalu.
Kumpulan pejuang itu menceroboh pagar sempadan Gaza yang dikawal rapi tentera, membunuh kira-kira 1,140 orang di Israel, kebanyakannya orang awam dan menculik kira-kira 250 menurut angka terbaru Israel.
Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas, berkata tindak balas ketenteraan Israel yang semakin lemah membunuh lebih 19,667 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, selain memusnahkan sebahagian besar wilayah pesisiran pantai.
Sekurang-kurangnya 20 lagi mangsa terbunuh dalam tempoh 24 jam lalu akibat serangan ke atas Rafah, kata kementerian itu, membawa lebih banyak penderitaan ke bandar selatan yang kini menjadi kem pelarian bagi penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal.
Sementara itu, di Tel Aviv, siren serbuan udara kedengaran bergema kuat apabila roket dilepaskan dari Gaza menyebabkan rakyat Israel berlari ke tempat perlindungan, namun ia berjaya dipintas oleh sistem pertahanan Kubah Besi atau 'Iron Dome' milik Israel. - AFP
No comments:
Post a Comment