WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, menggesa Israel untuk mengurangkan serangan ke atas Hamas di Gaza dalam masa terdekat bagi memastikan tiada lagi orang awam kehilangan nyawa di wilayah itu.
Penasihat Keselamatan Negara AS, Jake Sullivan, menyatakan perkara itu semasa rundingan di Tel Aviv dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan pegawai kanan lain mengenai perang dilancarkan Israel selepas serangan 7 Oktober.
Washington sekian lama menyatakan menyokong kuat terhadap hak Israel untuk mempertahankan diri, tetapi korban awam yang semakin meningkat di wilayah Palestin menyebabkan perpecahan yang semakin ketara antara sekutu rapat itu.
"Saya mahu mereka memberi tumpuan kepada cara menyelamatkan nyawa orang awam, tetapi tidak berhenti menyerang Hamas, namun lebih berhati-hati," kata Biden kepada pemberita selepas satu acara di pusat penyelidikan perubatan di Washington.
Rumah Putih berkata, sebelum ini Sullivan, menekan Israel mengenai masa perang selepas Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, memberitahunya bahawa konflik itu akan berlarutan beberapa bulan lagi.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS, John Kirby, berkata Sullivan turut menyatakan kemungkinan peralihan daripada apa yang dipanggil operasi intensiti tinggi kepada operasi intensiti rendah dalam masa terdekat.
"Tetapi saya tidak mahu meletakkan garis masa padanya dan Washington tidak menentukan syarat kepada Israel tetapi Sullivan ada bertanya soalan sukar mengenai perjalanan serangan itu, sambil tetap menyokong Israel.
"Saya fikir kita semua mahu ia berakhir secepat mungkin," katanya sambil menambah bahawa perang boleh berakhir hari ini jika Hamas berundur tetapi ia tidak mungkin berlaku sekarang.
Susulan itu, Gallant memberi amaran kepada Sullivan bahawa perjuangan Israel dengan Hamas akan memerlukan tempoh masa lebih daripada beberapa bulan dan optimis akan menang.
Dalam pada itu, Rumah Putih menyatakan, Sullivan melawat Arab Saudi pada Rabu lalu untuk berbincang dengan pemerintah de facto negara itu, Putera Mahkota Mohammed Salman.
Mereka membincangkan usaha berterusan untuk mewujudkan keadaan baharu bagi keamanan yang berkekalan lagi mampan antara Israel dan Palestin selain meningkatkan bantuan kepada Gaza.
Bagaimanapun, Netanyahu terus berikrar untuk meneruskan perang dan Menteri Luar, Eli Cohen berkata perang akan berterusan dengan atau tanpa sokongan antarabangsa.
Peperangan yang kini memasuki bulan ketiga, bermula selepas serangan 7 Oktober yang tidak pernah berlaku sebelum ini oleh kumpulan pejuang Hamas terhadap Israel.
Sebagai tindak balas, Israel berikrar untuk memusnahkan Hamas dan melancarkan serangan ketenteraan yang berterusan hingga menyebabkan keseluruhan Gaza musnah sama sekali.
Kementerian Kesihatan di wilayah kendalian Hamas berkata, 18,787 orang terbunuh di Gaza setakat ini, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. - AFP
No comments:
Post a Comment