PETALING JAYA – UMNO Wilayah Persekutuan sekali lagi mengingatkan DAP supaya tidak mengulangi lagi cadangan mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).
Katanya, mereka sepakat membantah cadangan DAP tersebut selepas mesyuarat khas yang diadakan baru-baru ini.
Menurutnya, pilihan raya PBT akan menyebabkan berlakunya satu bentuk pembaziran wang rakyat dan ia perlu ditolak.
“Umno Wilayah Persekutuan berpendapat adalah lebih baik peruntukan untuk pemilihan ahli-ahli PBT disalurkan untuk pembangunan, kebajikan dan kemudahan demi rakyat Wilayah Persekutuan yang lebih memerlukannya.
“Seperti menambah baik infrastruktur, pembinaan rumah mampu milik, menaik taraf pusat-pusat penjaja atau medan selera, meningkatkan kemudahan pengangkutan awam dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, media melaporkan, Pengerusi DAP Kuala Lumpur, Tan Kok Wai semasa berucap dalam Konvensyen DAP Kuala Lumpur mencadangkan supaya kerajaan memulakan pelaksanaan pilihan raya PBT di ibu negara.
Mengulas lanjut, UMNO Wilayah Persekutuan berkata, pilihan raya PBT juga akan mewujudkan kartel politik yang mana akan membiayai calon dalam pilihan raya tersebut.
“Amalan rasuah dan salah guna kuasa pasti akan berlaku yang sudah semestinya akan merencatkan usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membanteras gejala rasuah dalam kalangan masyarakat Malaysia,” katanya.
Tambahnya, ahli-ahli Parlimen yang dipilih semasa pilihan raya Umum lalu sudah memadai untuk membawa isu-isu rakyat dan masalah yang dihadapi oleh mereka.
“Adanya pemilihan PBT menandakan fungsi ahli parlimen tidak efektif kerana ada pertindihan peranan di antara ahli Parlimen dengan ahli PBT yang dipilih,” jelasnya. – Utusan
No comments:
Post a Comment