KUALA LUMPUR: Kadar dividen bagi Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk 2023 yang akan diumumkan oleh Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) dalam masa terdekat ini dijangka melebihi kadar agihan pendapatan tahun lalu iaitu 4.6 peratus.
Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohamad Khair Afham Muhamad Senan, berkata jangkaan kadar dividen lebih tinggi disokong beberapa faktor, terutama kestabilan ekonomi pasca pandemik dan persekitaran politik yang lebih baik.
"Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan kestabilan pasaran saham dilihat menyokong kenaikan dividen ASB pada tahun ini.
"Meskipun, ada kejatuhan dalam pasaran saham pada suku pertama dan kedua ekoran penyusutan nilai ringgit, namun pada suku berikutnya, pasaran ekuiti negara semakin stabil," katanya kepada BH.
Mohamad Khair berkata, jika melihat kepada kestabilan ekonomi pada 2023 berbanding pada tahun lalu, ASB mampu menawarkan pulangan yang lebih tinggi kepada pemegang unit amanahnya.
"Dividen ASB kekal kompetitif berdasarkan perkembangan semasa ekonomi dan pasaran saham. Kompetitif bukan sekadar hanya melihat dari sudut nilai pulangan atau dividen, namun, ia juga mengambil kira kestabilan pelaburan itu.
"ASNB telah menunjukkan prestasi yang lebih stabil sebagai portfolio pelaburan berbanding portfolio yang lain, terutama ketika ketidaktentuan ekonomi ketika pandemik. "Jadi, faktor kestabilan ASNB ini akan membuatkannya satu portfolio pelaburan yang akan kekal kompetitif," katanya.
Beliau berkata, Permodalan Nasional Bhd (PNB) mampu mengimbangi pelaburan dalam dan luar negara ketika fasa ekonomi yang mencabar ini dengan memperuntukkan lebih banyak pelaburan di peringkat domestik, berikutan ketidaktentuan pasaran dan ekonomi luar negara sekitar dua hingga tiga tahun kebelakangan ini.
"Melihat kepada ketidaktentuan pasaran dan ekonomi global dan betapa sensitifnya nilai ringgit dan ekonomi negara kepada kejutan ekonomi dari luar, PNB mungkin perlu meletakkan lebih fokus kepada pelaburan dalam negara," katanya.
Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, juga yakin dividen kekal kompetitif walaupun prestasi Bursa Malaysia masih lagi belum pulih sepenuhnya.
"Meskipun Bursa Malaysia belum menunjukkan peningkatan positif berbanding tahun lalu, namun pulangan daripada pelaburan ekuiti luar negara mampu memastikan kadar dividen yang diumumkan nanti kekal kompetitif.
"Saya jangkakan kadar dividen ASB akan lebih daripada 4.6 peratus yang diisytiharkan tahun lalu," katanya.
Beliau berkata, PNB perlu meluaskan pasaran pelaburannya di luar negara untuk menjana pulangan yang lebih tinggi.
"Walaupun pertumbuhan ekonomi global dijangka kekal perlahan tahun depan, namun ada beberapa pasaran terutama di rantau Asia Pasifik yang akan menunjukkan peningkatan ekonomi yang tinggi pada tahun hadapan.
"Ini adalah peluang untuk PNB meluaskan pasaran pelaburannya di luar negara bagi menjana pulangan atas pelaburan yang lebih tinggi," katanya.
Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, sebaliknya melihat prospek dividen ASB agak mencabar berdasarkan prestasi Bursa Malaysia yang merosot sebanyak 2.62 peratus dari awal tahun hingga kini.
"Perkara ini disebabkan situasi kadar faedah yang tinggi di negara maju seperti di Amerika Syarikat (AS) banyak menyumbang kepada kelembapan pasaran saham negara.
"Namun, strategi PNB yang mempelbagaikan portfolio ke luar negara seharusnya banyak membantu prestasi pulangan pelaburan secara keseluruhan. Setidak-tidaknya, dividen yang diumumkan sama seperti tahun lalu," katanya.
Tahun lalu, ASNB mengumumkan agihan pendapatan 3.35 sen seunit dan bonus 1.25 sen seunit kepada pemegang unit ASB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.
Anak syarikat milik penuh PNB itu juga mengumumkan bonus tambahan 0.50 sen seunit bagi 30,000 unit pertama yang dipegang oleh pemegang unit ASB.
Jumlah keseluruhan pengagihan pendapatan adalah sebanyak RM8.9 bilion yang memanfaatkan 10.6 juta pemegang unit ASB.
-BH Online
No comments:
Post a Comment