Kuala Lumpur: Organisasi media yang mempromosi keganasan dalam masyarakat dan ucapan kebencian tidak mempunyai tempat di Malaysia atau mana-mana masyarakat bertamadun.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata kerajaan boleh mengawal selia, menjalankan kempen penguatkuasaan berdasarkan undang-undang sedia ada dan kempen pendidikan untuk mengajar golongan muda serta tua agar tidak menerokai media seperti ini.
Namun katanya terpulang kepada setiap individu sama ada mahu berbuat demikian atau sebaliknya.
"Kita mesti sedar bahawa dengan hanya melawati (media sebegitu) memberi laman web terbabit algoritma dan kemudian yang lain menyusul.
"Menolak kandungan berbahaya bukan hanya baik untuk individu, tetapi untuk negara secara keseluruhan," katanya ketika berucap pada majlis Makan Malam Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) sempena pelancaran Siri Pembangunan Profesional NPC di sini hari ini.
Beliau berkata wartawan di negara ini menikmati ekosistem media jauh lebih mantap seperti dicerminkan dalam peningkatan ranking kebebasan akhbar antarabangsa Malaysia yang harus dilihat sebagai satu permulaan baik.
Bagaimanapun, Teo berkata usaha lebih besar diperlukan untuk meningkatkan lagi kedudukan Malaysia di dalam ranking.
"Meningkatkan lagi ranking kebebasan akhbar Malaysia adalah usaha kolektif yang memerlukan usaha bersepadu. Malam ini saya ingin memaklumkan anda bahawa saya akan bersama-sama anda dalam perjalanan ini.
"Ranking kebebasan akhbar tidak mencukupi meskipun kita menyasarkan untuk membawa penarafan kita dalam kalangan 30 kedudukan teratas pada tahun-tahun akan datang.
"Malaysia adalah negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam dan menghormati hak-hak individu lain serta golongan minoriti. Oleh itu, kita mesti memperkukuh kebebasan kita dengan tanggungjawab bersama. Tanggungjawab terhadap kebenaran adalah teras kewartawanan seperti yang kita sedia maklum," katanya.
Pada majlis itu, Teo turut merasmikan Buku Panduan Pelapor Mobile Journalism (MOJO) MADANI yang diterbitkan oleh Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR).
Buku itu dihasilkan menerusi usaha sama pengamal media tempatan, ahli akademik IPPTAR, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM), Jabatan Penerangan Malaysia, Jabatan Penyiaran Malaysia serta Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA).
IPPTAR dalam satu kenyataan pula memaklumkan bahawa penerbitan buku itu adalah untuk melahirkan pengamal media dan wartawan warga yang pantas, tepat serta beretika.
-myMetro
No comments:
Post a Comment