PETALING JAYA : Masyarakat diingatkan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) hanya menerima panggilan orang ramai untuk melaporkan kes penipuan dan berbentuk komunikasi sehala sahaja.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sebarang panggilan yang mengaku daripada pihak NSRC adalah satu penipuan.
Kata beliau, sebanyak 25 laporan diterima membabitkan kes penyamaran pegawai dari NSRC melibatkan kerugian RM729,995.20 sejak Januari sehingga kini.
“NSRC tidak akan membuat panggilan kepada mana-mana individu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata beliau, mangsa akan menerima panggilan daripada individu yang mendakwa pegawai NSRC.
Kata beliau, pegawai tersebut kemudian memaklumkan pihak NSRC akan membatalkan nombor telefon mangsa kononnya selepas menerima aduan bahawa nombor telefon tersebut telah menghantar pautan haram serta mesej penipuan.
“Untuk tujuan siasatan, panggilan kemudian akan disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis.
“Mangsa akan diarahkan mengikut segala arahan yang diberikan sehinggalah mengakibatkan mangsa membuat pindahan wang ke akaun yang diberikan,” jelasnya.
Ramli berkata, individu yang dihubungi pegawai NSRC palsu perlu segera menghubungi NSRC di talian 997 untuk melaporkan insiden yang berlaku.
“Panggilan hendaklah dibuat dalam tempoh kurang 24 jam agar peluang untuk membuat sekatan terhadap wang yang dipindahkan lebih tinggi,” ujarnya.
Kata Ramli, dalam masa yang sama PDRM menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah panik.
“Jangan mudah percaya dengan apa jua dakwaan yang diterima melalui panggilan dari individu yang tidak dikenali.
“Lakukan semakan dengan agensi yang berkaitan bagi memastikan kesahihan dakwaan tersebut,” katanya. – UTUSAN
No comments:
Post a Comment