Kenduri arwah ialah majlis makan-makan (dengan atau tanpa) zikir dan doa, sempena kematian.
Walau ritual ini telah bergenerasi diamalkan sehingga dianggap suatu yang wajib.
Oleh itu wajar kita nilai semula menurut lensa al-Quran, al-Sunnah dan ulama, mengenai amalan ini.
Tiada dalam al-Quran suruhan mengenai kenduri arwah, namun dalam al-Sunnah, terdapat sebuah hadis semasa perang Mu’tah, sejurus sampai kepada Baginda berita syahidnya Jaafar bin Abi Tolib RA, lalu Nabi SAW bersabda:
اصْنَعُوا لِآلِ جَعْفَرٍ طَعَامًا ، فَقَدْ أَتَاهُمْ مَا يَشْغَلُهُمْ
Terjemahannya: “Buatkanlah untuk keluarga Jaafar makanan, kerana sesungguhnya telah datang kepada mereka perkara yang menyibukkan.” -1-
Imam al-Syafie mengulas hadis ini, dengan katanya:
وَأُحِبُّ لِجِيرَانِ الْمَيِّتِ أَوْ ذِي قَرَابَتِهِ أَنْ يَعْمَلُوا لِأَهْلِ الْمَيِّتِ فِي يَوْمِ يَمُوتُ وَلَيْلَتِهِ طَعَامًا يُشْبِعُهُمْ فَإِنَّ ذَلِكَ سُنَّةٌ، وَذِكْرٌ كَرِيمٌ، وَهُوَ مِنْ فِعْلِ أَهْلِ الْخَيْرِ قَبْلَنَا وَبَعْدَنَا
Terjemahannya: “Dan aku suka bagi jiran jenazah atau sanak-saudaranya membuat makanan untuk ahli keluarga jenazah pada hari kematian dan malamnya yang dapat mengenyangkan mereka, kerana hal ini adalah satu sunnah dan juga sebutan yang mulia (kepada mereka). Hal ini termasuk dalam perbuatan orang-orang yang baik sebelum dan selepas daripada kita.” -2-
Imam Ahmad bin Hanbal, ketika ditanya tentang masalah ini beliau menjawab:
“Dibuatkan makanan untuk mereka (ahli keluarga si mati) dan tidaklah mereka (ahli keluarga si mati) membuatkan makanan untuk para penta’ziyah.”-3-
Namun, sekiranya sebaliknya, iaitu ahli keluarga si mati yang melakukan kenduri untuk para hadirin atau orang ramai, ini dilarang dan boleh dikategorikan sebagai al-nihayah (ratapan). Jarir bin ‘Abdillah RA berkata:
كُنَّا نَعُدُّ الِاجْتِمَاعَ إِلَى أَهْلِ الْمَيِّتِ ، وَصَنِيعَةَ الطَّعَامِ بَعْدَ دَفْنِهِ مِنْ النِّيَاحَةِ
Terjemahannya: “Kami mengira berhimpun kepada keluarga jenazah dan membuat makanan selepas daripada pengebumian termasuk di dalam maksud al-nihayah (ratapan yang dilarang).”-4-
Tentang bahayanya al-nihayah (ratapan) ini, Imam al-Nawawi berkata:
“Orang yang melakukan nihayah lantas tidak bertaubat sampai mati dan disebutkan sampai akhir hadis, menunjukkan bahawa haramnya perbuatan nihayah dan hal ini telah disepakati. Hadis ini menunjukkan diterimanya taubat jika taubat tersebut dilakukan sebelum mati (nyawa di kerongkongan).”-5-
Kenduri arwah disamakan dengan ratapan (al-nihayah) dan kita akan senaraikan ulama-ulama yang melarang kenduri arwah/tahlil ini:
1. Imam Syafi’i (w. 204 H):
وأكره النياحة على الميت بعد موته وأن تندبه النائحة على الانفراد لكن يعزى بما أمر الله عزوجل من الصبر والاسترجاع وأكره المأتم وهى الجماعة وإن لم يكن لهم بكاء فإن ذلك يجدد الحزن
Terjemahan: “Aku tidak suka nihayah (peratapan) pada mayat setelah kematiannya, begitu juga aku tidak suka jika bersedih tersebut dilakukan seorang diri. Seharusnya yang dilakukan adalah seperti yang Allah Ta’ala perintahkan iaitu dengan bersabar dan mengucapkan istirja’ (innalillahi wa inna ilaihi rooji’un). Aku pun tidak suka dengan acara ma’tam iaitu berkumpul di kediaman si mayat walau di sana tidak ada tangisan. Kerana berkumpul seperti ini pun hanya membuat keluarga mayat mengungkit kesedihan yang menimpa mereka. ”-6-
2. Ibn al-Qudamah al-Maqdisi (w. 629 H)
فَأَمَّا صُنْعُ أَهْلِ الْمَيِّتِ طَعَامًا لِلنَّاسِ فَمَكْرُوْهٌ، لِأَنَّ فِيْهِ زِيَادَةً عَلَى مُصِيْبَتِهِمْ وَشُغْلًا لَهُمْ إِلَى شُغْلِهِمْ، وَتَشَبُّهًا بِصَنِيْعِ أَهْلِ الْجَاهِلِيَّةِ. وَرُوِيَ أَنَّ جِرِيْرًا وَفَدَ عَلَى عُمَرَ فَقَالَ: هَلْ يُنَاحُ عَلَى مَيِّتِكُمْ؟ قَالَ: لَا. قَالَ: فَهَلْ يَجْتَمِعُوْنَ عِنْدَ أَهْلِ الْمَيِّتِ وَيَجْعَلُوْنَ الطَّعَامَ؟ قَالَ: نَعَمْ. قَالَ: ذَاكَ النَّوْحُ.
Terjemahan: “Adapun ahli keluarga si mati membuatkan makanan untuk orang ramai maka itu satu hal yang dibenci (haram) kerana akan menambah (kesusahan) di atas musibah mereka dan menyibukkan mereka di atas kesibukan mereka dan menyerupai perbuatan jahiliyyah.
Dan telah diriwayatkan bahawa Jarir pernah bertemu dengan ‘Umar. Lalu ‘Umar bertanya, “Apakah mayat kamu diratapi?” Jawab Jarir: “Tidak!” ‘Umar bertanya lagi: “Apakah mereka berkumpul di rumah si mati dan mereka membuat makanan?” Jawab Jarir: “Ya!” Berkata ‘Umar: “Itulah ratapan!.”-7-
2. Imam al-Nawawi (w. 676 H):
وأما اصلاح اهل الميت طعاما وجمع الناس عليه فلم ينقل فيه شئ وهو بدعة غير مستحبة
Terjemahan: “Adapun yang dilakukan keluarga si mati dengan membuatkan makanan dan mengumpulkan orang-orang di kediaman mayat, maka tidak ada tuntunan dalam hal ini. Hal ini termasuk bid’ah yang tidak dianjurkan.”-8-
3. Ibn al-Taimiyah (w. 728 H):
وَأَمَّا صَنْعَةُ أَهْلِ الْمَيِّتِ طَعَامًا يَدْعُونَ النَّاسَ إلَيْهِ فَهَذَا غَيْرُ مَشْرُوعٍ وَإِنَّمَا هُوَ بِدْعَةٌ
Terjemahan: “Adapun jika keluarga si mati yang membuatkan makanan dan mengundang orang ramai untuk datang, seperti ini tidak ada tuntunan dan termasuk bid’ah.”-9-
4. Ibn al-Qayyim (w. 751 H):
“…di antara tuntutan beliau adalah tidak boleh membebani keluarga si mati agar menyediakan makanan untuk orang yang datang (menziarahi dan sebagainya). Bahkan sebaliknya, Beliau SAW menyuruh agar dibuatkan makanan untuk keluarga mayat dan dikirimkan kepada mereka.
Ini merupakan ciri-ciri akhlak mulia yang besar, dan bentuk meringankan beban keluarga si mati, lantaran mereka disibukkan oleh musibah yang menimpan mereka.”-10-
5. Al-Hattab al-Maliki (w. 954 H):
أَمَّا إصْلَاحُ أَهْلِ الْمَيِّتِ طَعَامًا ، وَجَمْعُ النَّاسِ عَلَيْهِ : فَقَدْ كَرِهَهُ جَمَاعَةٌ ، وَعَدُّوهُ مِنْ الْبِدَعِ ؛ لِأَنَّهُ لَمْ يُنْقَلْ فِيهِ شَيْءٌ ، وَلَيْسَ ذَلِكَ مَوْضِعَ الْوَلَائِمِ “. انتهى من “مواهب الجليل في شرح مختصر خليل.
Terjemahan: “Adapun membuat makanan oleh keluarga si mati, lalu mengumpulkan orang ramai untuk makan, sesungguhnya telah dibenci oleh sejamaah ulama (malikiyyah), mereka menganggapnya termasuk dari bid’ah-bid’ah, kerana tidak dinukilkan pensyariatannya dalam mana-mana ayat al-Quran dan Hadis, dan itu bukan tempat untuk berkenduri bergembira.”-11-
6. Ibn Hajar al-Haytami (w. 974 H):
وما اعتيد من جعل أهل الميت طعاما ليدعوا الناس إليه بدعة منكرة مكروهة لما صح عن جرير بن عبد الله
Terjemahan: “Dan sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan dari penghidangan makanan oleh keluarga mayat dengan tujuan untuk mengundang masyarakat, hukumnya bid’ah munkarah (dilarang) lagi dibenci, berdasarkan hadis sahih dari Jarir bin ‘Abdillah.” -12-
8. Ibn al-‘Abidin al-Hanafi (w. 1252 H):
ويكره اتخاذ الضيافة من الطعام و من أهل الميت لأنه شرع في السرور لا في الشرور وهي بدعة مستقبحة.
Terjemahan: “Dimakruhkan hukumnya (yakni haram) menghidangkan makanan oleh keluarga mayat, kerana hidangan hanya disyariatkan untuk waktu gembira bahagia, bukan dalam waktu-waktu musibah. Dan hal itu merupakan bid’ah yang hodoh.” -13-
9. Abu Bakr Utsman bin Muhammad Syata al-Dimyathi (w. 1310 H):
“Apa yang dikerjakan orang, iaitu berkumpul di rumah keluarga si mati dan dihidangkannya makanan untuk itu, adalah termasuk bid’ah mungkar, bagi orang yang melarangnya akan diberi pahala.
Dan apa yang telah menjadi kebiasaan, keluarga si mati membuat makanan untuk orang-orang yang diundang datang padanya, adalah bid’ah yang dibenci.
Dan tidak diragukan lagi bahawa melarang orang-orang untuk melakukan bid’ah mungkar termasuk (kenduri arwah/tahlil) adalah menghidupkan sunah, mematikan bid’ah, membuka banyak pintu kebaikan, dan menutup banyak pintu keburukan.
Dan dibenci bagi para tetamu memakan makanan keluarga si mati, kerana telah disyari’atkan tentang keburukannya, dan perkara itu adalah bid’ah.
Dan dibenci menyediakan makanan pada hari pertama, ketiga, dan sesudah seminggu dan sebagainya.” -14-
10. Dr. Wahbah Zuhaili (w. 1435 H):
“Adapun menyediakan makanan oleh keluarga si mati kepada orang ramai, (adalah perkara) yang dibenci dan bid’ah, yang tiada asal usulnya. Kerana padanya (menyediakan makanan) itu menyusahkan keluarga si mati yang mereka telah pun disibukkan oleh musibah (kematian). (Amalan menyediakan makanan itu) menyerupai amalan jahiliyah dalam ratapan kepada si mati.” -15-
11. Dr. Mustofa al-Khin, Dr. Mustofa al-Bugha & Ali asy-Syarbani:
“(Antara bid’ah dalam menguruskan jenazah ialah) keluarga si mati sibuk membuat makanan dan menjemput orang ramai menikmatinya sebagaimana yang biasa berlaku pada zaman sekarang. Perbuatan tersebut adalah bid’ah yang berlawanan dengan sunnah Rasulullah SAW.
Di antara bid’ah yang dilakukan oleh keluarga si mati ialah menjemput orang ramai untuk makan, sempena berlalunya 40 hari kematian keluarganya dan seumpamanya.
Sekiranya makanan yang disediakan adalah daripada harta ahli waris yang belum baligh, maka ia sangat ditegah dan diharamkan. Ini kerana ia adalah perbuatan memakan harta anak yatim dan mensia-siakan hartanya yang tidak memberi apa-apa maslahat (kebaikan) kepadanya.
Semua dikira terlibat dalam melakukan perbuatan yang haram itu sama ada keluarga yang menjemput atau mereka yang datang memakannya.” -16+/-
12. Haji Abd. Ghani bin Haji Yahya berkata:
“Adapun menyediakan makanan oleh keluarga si mati dan panggil orang berkumpul makan di rumahnya itu kata Ibnu Sabbakg (ابن الصباغ) dan lain-lain ulama, itu adalah bid’ah yang tidak diharuskan apatah lagi kalau digunakan daripada harta si mati yang ada hutang atau terlibat dengan hak anak yatim hukumnya haram.”-17-
13. Syeikh Daud al-Fatthani berkata:
“Makruh lagi bid’ah bagi segala orang diserukan dia memperkenankan seruannya, dan haram menyediakan makanan bagi orang meratap iaitu menangis dengan menyebutkan akan kebaikannya, kerana yang demikian itu menolong atas berbuat maksiat.”-18-
14. Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari berkata:
“Dan makruh lagi bid’ah bagi yang kematian memperbuat makanan yang diseru akannya segala manusia atas memakan dia dahulu daripada menanam dia kemudian daripadanya seperti yang telah teradat. Dan demikianlah makruh lagi bid’ah jika segala mereka yang diserunya memperkenankan seruannya” -19-
15. Syeikh Daud al-Fatthani berkata:
“Dan demikian yang dikerjakan manusia dengan beringat dinamakan dia dengan kaffarat dan daripada dikerjakan ‘wahsyah’ yang berhimpun memberi makan pada awal malam kemudian daripada tanam mayat.
Dan tujuh harinya dan dua puluh dan empat puluh dan seumpama yang demikian itu haram atau makruh atau harus? Maka dijawabnya; maka adalah segala yang tersebut itu makruh yang dicela pada syarak, kerana tegah pada syarah pada syarak.” -20-
16. Shaikh Muhammad Idris al-Marbawi:
“Adapun bermasak ahli keluarga mayat akan makanan dan dihimpunkannya orang-orang memakannya, maka kerja itu tiada dinaqal daripadanya suatu. Maka ia adalah bid’ah yang tidak elok.” -21-
17. Fatwa Negeri Perlis:
“Orang ramai berhimpun di rumah jenazah dan dibuat makanan untuk mereka selepas jenazah dikebumikan adalah termasuk perbuatan yang tidak disukai…” -22-
Dapat disimpulkan bahawa melakukan kenduri arwah termasuk perkara dilarang, sekurangnya-kurangnya makruh (dibenci) atau bid’ah yang mungkar (buruk). Oleh itu amat wajar amalan ini ditinggalkan.
Yang melarang amalan kenduri arwah/tahlil ini dari kalangan ulama terdahulu dan yang terkini, yang masih hidup dan telah mati, dalam Negara dan luar Negara semuanya melarang amalan ini.
Kenduri pula biasanya untuk meraih kegembiraan, seperti berkahwin, akikah. Namun kenduri arwah apakah dilakukan kerana bergembira dan bersyukur atas kematian insan tersayang? Fikirkan.
Janganlah kita asyik beralasan bahawa ini amalan orang tua-tua dahulu, seperti alasan orang jahiliyyah.
Juga jangan berkata bahawa ada dalam kitab, tanpa berfikir ketulenan dan ketepatan informasi dengan amalan Rasulullah SAW. Pendeta Za’ba berkata:
Sifat bergantung kefahaman agama Islam melalui masyarakat penganutnya (bukan melalui penelitian terhadap nas dalil). Ini adalah akibat orang Melayu menjadi pengikut buta tuli dalam melakukan adat-adat keagamaan yang diajar oleh tok-tok guru mereka.
Mereka tidak bersoal jawab tentang sesuatu perkara yang diajar kepada mereka, dan dengan itu tidak tahu bahawa ada yang diajar itu tidak terdapat dalam al-Quran dan Hadis, bahkan ada yang bertentangan dengannya.
Mereka bertindak sebagai “jahil pekat”, sedangkan mereka diberi akal fikiran oleh Tuhan. Itulah maknanya “bertaklid buta”. -23-
Wallahuakhlam.
____________________________
1. Hadis riwayat al-Tirmizi. Hadis Hasan menurut al-Albani
2. Al-Umm
3. Masaa-il Abu Daud
4. Hadis riwayat Ahmad. Sahih menurut Syu’ib al-Arnauth
5. Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim
6. Al-Umm
7. Al-Mughni
8. Al-Majmu’ Syarh al-Muhadzab
9. Majmu’ al-Fatawa
10. Zaad al-Ma’ad
11. Mawahib al-Jalil
12. Tuhfatul-Muhtaj
13. Hashiyah Ibn al-‘Abidin
14. I’anah al-Thalibin
15. Al-Fiqh al-Islam wa al-Dillahtuha
16. Fiqh al-Manhaji ‘Ala Mazhab al-Syafie. (Diadaptasi)
17. Idaman Penuntut
18. Bughya al-Tullab
19. Sabil al-Muhtadin
20. Furu’ al-Masa’il
21. Bahru al Madzi, Syarah Mukhtashar Shahih at Tirmidzi
22. Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Kali Ke-36 / 2018
23. Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri
Editor: Loha
24 Jamadilawal 1445H
-Suara Sunnah
No comments:
Post a Comment