Pada Ahad, Tan Kok Wai mencadangkan kerajaan memulakan pilihan raya tempatan di Kuala Lumpur bagi “merakyatkan demokrasi”.
PETALING JAYA: PAS menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengawal dan menghentikan ‘naratif beracun’ dibawa DAP berhubung cadangan memperkenalkan semula pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kuala Lumpur.
Setiausaha Agungnya Takiyuddin Hassan berkata keputusan kerajaan terdahulu memansuhkan pilihan raya di seluruh negara sejak lebih 50 tahun lalu di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 antara lain bertujuan menghindari penguasaan kerajaan tempatan oleh satu-satu kumpulan etnik.
Menurut Ahli Parlimen Kota Bharu itu, tindakan berkenaan juga bagi menutup kemungkinan berlakunya ketegangan dan ketidakharmonian kaum dalam masyarakat.
“PAS percaya hikmah dan tujuan penting keputusan itu masih terpakai dan perlu pada hari ini.
“Perdana menteri perlu mengawal dan menghentikan naratif beracun seperti ini kerana mereka yang melupakan sejarah hanya akan mengulanginya,” katanya dalam kenyataan.
Ahad lalu, Ketua DAP Kuala Lumpur Tan Kok Wai mencadangkan kerajaan memulakan pilihan raya tempatan di bandar raya itu bagi “merakyatkan demokrasi”.
Menurutnya, pengenalan pilihan raya tempatan di Kuala Lumpur bertujuan untuk kelestarian dan memberi pilihan kepada penduduknya memilih ahli majlis tempatan.
Cadangannya itu mendapat maklum balas termasuk Pemuda Umno yang meminta Ahli Parlimen Cheras terbabit supaya tidak membuat kenyataan provokasi.
Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa pula berkata ada perkara lebih penting perlu diberi keutamaan sebelum berbincang mengenai pelaksanaan pilihan raya PBT di Kuala Lumpur.-FMT
No comments:
Post a Comment