RANTAU PANJANG: "Hancur luluh hati kami melihat 60 rumah di Kampung Tersang, di sini, ditenggelami air dan hanya nampak bumbung."
Demikian luahan penduduk, Suriani Daud, 50, yang kini berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To'Deh.
Katanya, ketika dia berpindah ke PPS dua minggu lalu sejak gelombang kedua, paras air ketika itu belum mencecah dalam rumah namun kali ini banjir sangat teruk sebagaimana Disember tahun lalu dan Februari lalu.
"Bila saya dan suami pergi lihat rumah, hanya nampak bumbung dan tahap sedih itu hanya Allah saja yang tahu apabila melihat semua barang tidak dapat diselamatkan. Hancur luluh hati saya.
"Hanya dokumen penting sahaja yang selamat, lain-lain habis. Bukan saya seorang, sebaliknya semua 60 rumah di Kampung Tersang tenggelam.
"Buntu memikirkan nasib selepas ini dengan keadaan banjir yang mungkin masih ada gelombang lain selepas ini," katanya.
Penduduk Kampung Tersang, Mohd Irwan Faizal, 40, pula berkata rumahnya yang paling tinggi di kampung berkenaan juga tenggelam hanya nampak bumbung.
"Sehingga semalam saya melihat rumah paras air masih tinggi. Sedih melihat habis barang dalam rumah terapung.
"Kejadian banjir kali ini teruk sebagaimana Disember tahun lalu dan tidak boleh dibayangkan kehidupan kami penduduk di sini selepas ini.
"Ini kali ketiga kami dilanda banjir dan paling teruk pernah kami lalui," katanya.
-BH Online
No comments:
Post a Comment