Belgrade: Pemain sayap, Micah Hamilton menjaringkan gol pada penampilan sulung bersama Manchester City apabila membantu pasukannya menewaskan Crvena Zvezda dan mara ke peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara dengan rekod 100 peratus kemenangan.
Hamilton, 20, bersama kelab itu sejak usia sembilan tahun, meletakkan City di hadapan selepas 19 minit permainan dalam suasana tegang di Serbia.
Ia nyata menggembirakan pengendali City, Pep Guardiola dengan prestasi yang dipamerkan Hamilton dan berkata: "Gol dan permainan yang sungguh menakjubkan.
"Saya sangat gembira untuknya. Dia sering berlatih bersama kami dan kami melihat kemahirannya satu lawan satu. Dia menjaringkan gol yang hebat dan mencetuskan sepakan penalti."
Semasa perlawanan itu, rakaman pada September 2017 mula tular di media sosial menunjukkan Guardiola bercakap dengan Hamilton yang ketika itu berusia 13 tahun menjadi budak pengutip bola ketika City menang 5-0 ke atas Crystal Palace.
Hamilton berkata ia berasa "seperti mimpi" apabila menjaringkan gol untuk kelab itu dan teruja dengan masa depannya.
"Pengurus memberi kami peluang dalam latihan dan dalam permainan. Bermain dengan pemain terbaik, anda akan sentiasa meningkat," kata Hamilton.
"Dia meletakkan saya di sayap kanan, sesuatu yang berbeza untuk saya. Saya tidak benar-benar bermain di sana. Saya melihatnya sebagai satu cabaran dan saya mengambilnya dan saya menikmati setiap saat.
"Ia pastinya hanya permulaan dan (saya mahu) bermula dari sini."
Gol Hamilton bermula dari hantaran Matheus Nunes yang membuat hantaran ke sayap kanan dan Hamilton yang pernah mewakili England di peringkat bawah 16 tahun, masuk ke dalam kotak penalti mencipta ruang sebelum merembat ke gawang.
Skuad kendalian Guardiola menjadi pasukan Inggeris kedua yang mencipta rekod bersih selepas pasukan Liverpool yang di kendalikan Jurgen Klopp melakukannya pada 2021-22.
Undian untuk pusingan 16 terakhir akan diadakan di ibu pejabat UEFA di Nyon, Switzerland pada 11 pagi waktu tempatan, 18 Disember ini.
City akan menghadapi salah satu pasukan yang telah mara sebagai naib juara kumpulan, dengan salah satu lawan berpotensi mereka ialah Inter Milan - pasukan yang mereka tewaskan pada perlawanan akhir musim lalu.
-myMetro
No comments:
Post a Comment