KUALA LUMPUR – Umno dan Barisan Nasional (BN) harus sedar, jangan kerana perbezaan pendapat dan pendirian, pemimpin yang berwibawa dan berkarisma dicantas, akhirnya parti yang tersungkur dan hilang kuasa.
Memetik laporan Utusan, benar pemimpin datang dan pergi, tetapi pengganti harus mampu memikul tanggungjawab dengan baik dan boleh diterima oleh masyarakat setempat, terutamanya para pengundi.
Suatu ketika dahulu Umno Johor dianggap sebagai tiang seri parti terbesar Melayu itu.
Namun, kini jolokan yang pernah menjadi kebanggaan para pemimpin Umno Johor hanya tinggal sejarah dan kenangan ‘manis’.
Tetapi kini, sebut sahaja Umno Johor, tiang serinya sudah mula goyang dan roboh dalam beberapa Pilihan Raya Umum (PRU) termasuk yang terbaharu pada PRU15 lalu.
Hanya tinggal beberapa kerat sahaja pemimpin Umno yang memenangi kerusi ditandingi mereka.
Walaupun menang bergaya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac 2022, namun kejayaan itu tidak dapat diteruskan pada PRU15 lalu. Lebih parah, beberapa pemimpinnya ada yang ‘dicap’ bukan orang Presiden, antaranya bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga Ahli Parlimen Sembrong dan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad yang berjaya memimpin Barisan Nasional (BN) Johor menang besar dalam PRN Johor 2022.
Selain mereka, ada beberapa lagi yang dianggap bukan ‘orang’ Presiden dan apakah nasib mereka? Mereka dicop bukan ‘orang’ Presiden kerana tidak bersetuju dengan beberapa perkara yang dilaksanakan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, khususnya pasca PRU15.
Malah, ada yang digantung keahlian serta lebih menyedihkan dipecat daripada parti terbesar Melayu itu. Secara logiknya, golongan yang tidak ‘sebulu’ dengan Presiden akan dipinggir dan mungkin lebih parah disingkirkan daripada parti, sekali gus tidak lagi dicalonkan pada pilihan raya akan datang.
Andai itu yang dilakukan, kemungkinan besar kerjaya politik seseorang pemimpin itu bakal menuju noktahnya. Namun, dalam politik apa sahaja boleh berlaku, kawan boleh jadi lawan dan begitu juga sebaliknya.
Pengaruh Hishammuddin yang merupakan cucu kepada pengasas Umno tidak boleh dinafikan dan beliau tetap mampu mempertahankan kerusi Parlimen Sembrong walaupun berlaku gelombang sokongan terhdap parti lawan semasa beberapa pilihan raya lalu.
Walaupun kini keahliannya dalam Umno digantung selama enam tahun, suatu kerugian sekiranya Umno dan BN sekiranya gagal mempertahankan kerusi Sembrong.
Bagi Hasni, walaupun bukan orang Presiden, namun kepemimpinan beliau diterima baik rakyat Johor apatah lagi berjaya mengemudi sehingga membawa kemenangan besar pada PRN Johor 2022, iaitu 40 daripada 56 kerusi DUN.
Walaupun ramai yang menganggap masa depan politik beliau ‘kabur’ selepas digantikan sebagai Menteri Besar, namun Hasni yang juga ADUN Benut diberi peranan penting di peringkat negeri.
Malah, kepercayaan dan hubungan baik dengan pihak istana, pemimpin tempatan dan rakyat, beliau dilantik sebagai Pengerusi Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor (JETCO) di Singapura yang diwujudkan untuk menarik lebih banyak pelaburan ke negeri ini.
Malah, beliau turut dilantik sebagai Pengerusi Pusat Kelestarian Johor (JSC) yang diberi peranan untuk mengenal pasti dan merangka perancangan pembangunan yang sesuai di Johor.
Terbaru, bekas Menteri Besar yang sentiasa mesra dengan rakyat itu turut dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Malah, sebelum ini, nama Hasni turut disebut-sebut bakal dilantik sebagai salah seorang menteri Kabinet baharu, namun teka-teki itu terjawab kelmarin apabila namanya tidak ‘lekat’ dalam senarai yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mungkin di peringkat parti Umno dan Persekutuan, Hasni ‘dipinggirkan’, namun di Johor kepimpinan dan peranannya tetap diperlukan.
-suara.tv
No comments:
Post a Comment