BARISAN Terengganu FC meraikan gol pada aksi Liga Super menentang Kelantan FC di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu, Kelantan.-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
KOTA BHARU: Stadium Sultan Muhammad IV, di sini makin hilang ‘serinya’ apabila Kelantan FC dibelasah teruk 0-8 oleh Terengganu FC pada perlawanan Liga Super sebentar tadi.
Terdahulu perlawanan seteru pantai timur itu terpaksa ditangguhkan lebih satu jam susulan hujan lebat.
Sebaik sahaja perlawanan kembali disambung, pelawat membuka tirai jaringan seawal minit ke-14 menerusi tandukan kencang yang dilakukan oleh Ivan Mamut.
Minit ke-27, Terengganu FC sekali lagi merobek gawang The Red Warriors (TRW) melalui tandukan Tukhtasinov selepas menerima hantaran silang Sony Norde.
Kesilapan pertahanan Kelantan, Ramesh Munusamy membawa padah apabila Nik Muhammad Sharif Haseepy Mohd. Lazi bertindak bijak merampas bola sebelum melepaskan rembat deras untuk gol ketiga skuad Penyu pada minit ke-36.
Terengganu FC menutup babak pertama dengan aksi cemerlang apabila meledakan jaringan keempat pada minit ke-40 menerusi Engku Muhammad Nur Shakir.
Aksi babak kedua, Terengganu terus menambah derita tuan rumah menerusi gol kelima menerusi Muhammad Safwan Mazlan yang tenang menampan bola masuk pada minit ke-47 selepas menerima umpanan Engku Muhammad Nur Shakir hasil sepakan penjuru diambil Norde.
Kerapuhan benteng Kelantan terus dihukum oleh pelawat selepas itu apabila Mamut menjaringkan gol keenam Terengganu FC pada minit ke-53.
Kedudukan TRW makin parah apabila rembatan jarak jauh Muhamad Hakimi Abdullah menerjah tepat ke penjuru kanan gawang Kelantan FC untuk gol ketujuh Terengganu FC pada minit ke-63.
Tiga minit berselang, Mamut melengkapkan jaringan hatriknya melalui rembatan deras yang menewaskan penjaga gawang TRW, Muhammad Irfan Haikal Mohd. Iffendi untuk kesekian kalinya.
Tuan rumah terus dirundung malang apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain setelah pemain pertahanannya, Muhammad Syaqimi Rozi diperintah keluar padang apabila menerima kad kuning kedua pada minit ke-75.
Keputusan 0-8 itu terus kekal hingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan Kelantan FC kekal di tangga ke-13 manakala Terengganu terus menghuni tangga keenam carta Liga Super.-UTUSAN
No comments:
Post a Comment